Adakah hudud bukan lagi nyawa PAS?


KENYATAAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin semalam bahawa PAS tidak lagi bercakap tentang potong-potong boleh difahami bahawa PAS tidak lagi berjuang untuk melaksanakan hukum hudud yang dalamnya melibatkan hukuman curi yang dikenakan hukuman potong tangan.

Kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Mursyidul Am PAS Allahyarham Harun Din pada Disember 2014 lalu bahawa hudud adalah nyawa PAS.

Selama ini PAS bermatian-matian mahu melaksanakan hudud sehingga sanggup berpecah dengan parti DAP dan Keadilan dalam Pakatan Rakyat kerana mahu membawa usul persendirian meminda Akta 355 bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan. 

Pada ketika itu juga, PAS juga sering menyatakan bahawa hudud merupakan nyawa mereka. Namun, apabila PAS berada dalam kerajaan persekutuan hari ini, pindaan Akta 355 ini masih belum dibawa ke Parlimen dan perjuangan hudud sudah tidak lagi kedengaran. 

Malahan, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan di dalam Muktamar tahun 2020 menyatakan bahawa sesiapa yang bertanya bilakah PAS akan melaksanakan hudud umpama suara syaitan. Adakah nyawa perjuangan PAS kini sudah tiada?

Ternyata PAS sudah mengubah agenda perjuangan mereka. Islam yang diperjuangkan selama ini kini menjadi ting kosong setelah berkawan dengan Umno dan PPBM sebagai kerajaan. 

Tiada satu pun dasar Islam yang dijadikan agenda negara hari ini sejak langkah sheraton berlaku. 

Kerajaan Melayu Islam hanya candu politik bagi mengelirukan rakyat terutama orang Melayu sedangkan kerajaan hari ini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan walaupun Islam mencegah keras amalan rasuah.

Dakwaan Muhyiddin ini serius. Justeru, Presiden PAS perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada PAS sudah tidak lagi memperjuangkan hudud. Ke manakah kompas politik PAS sekarang? Adakah nyawa PAS sudah mati sekarang? 

Jangan jadi seperti Muafakat Nasional yang dikatakan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ditutup fail, nampak tidak hidup tetapi tidak mati. Hudud bukan zombi. – 6 Mac, 2022.


* Faiz Fadzil, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen