Polis Israel tembak mati remaja Palestin


Serangan individu menggunakan pisau menyasarkan pasukan keselamatan Israel satu perkara biasa di Kota Lama dan Tebing Barat yang diduduki. – Gambar AFP, 6 Mac, 2022.

POLIS Israel menembak mati seorang remaja Palestin yang menikam seorang pegawai polis Israel di kota lama Baitulmaqdis pada pagi Ahad.

Polis Israel dalam kenyataan memaklumkan, remaja berusia 19 tahun itu terlebih dahulu mendekati beberapa pegawai yang ditugaskan di pintu Bab Huta di kota lama Baitulmaqdis, sebelum mengeluarkan pisau dan menikam mereka.

Kenyataan sama melaporkan, remaja terbabit kemudian ditembak sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Seorang lagi pegawai polis turut cedera dalam kejadian itu dan kedua-dua mereka dibawa untuk mendapatkan rawatan perubatan, menurut kenyataan itu yang mengesahkan remaja terbabit dikenal pasti menetap di timur Baitulmaqdis.

Kota lama terletak di bahagian timur Baitulmaqdis yang didakwa rakyat Palestin sebagai ibu kota negara masa depan mereka.

Serangan individu menggunakan pisau menyasarkan pasukan keselamatan Israel satu perkara biasa di Kota Lama dan Tebing Barat yang diduduki.

Pintu Bab Huta laluan menuju Masjidil Aqsa, tapak ketiga paling suci Islam, yang mana keganasan meletup Mei lalu selepas polis Israel menyerbu kawasan itu sebagai tindak balas kepada jemaah yang membaling batu dan bahan letupan. – AFP, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen