Vaksin Sinovac ditawarkan kepada kanak-kanak secara jumpa terus 


Elill Easwaran

Vaksin Sinovac akan tersedia untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga11 tahun di empat pusat vaksinasi (PPV) mulai 7 Mac ini secara jumpa terus (walk in). – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan yang vaksin Sinovac akan tersedia untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga11 tahun di empat pusat vaksinasi (PPV) mulai 7 Mac ini secara jumpa terus (walk in). 

Menurut kenyataan dikeluarkan Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali, empat PPV itu adalah PPV World Trade Centre Kuala Lumpur, PPV Ideals Convention Centre (ICC) Shah Alam, PPV Soka Gakkai Klang dan PPV Axiata Bukit Jalil.

Bagi lokasi jumpa terus lain, ibu bapa dinasihati merujuk kepada laman web KKM.

Katanya lagi, kelulusan sudah diberikan untuk penggunaan CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dikeluarkan Sinovac Life Sciences Co. Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd (Malaysia), untuk kegunaan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Ini menjadikan CoronaVac sebagai vaksin kedua yang diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11,” katanya.

Menurut kenyataan lagi, ibu bapa diberikan pilihan vaksin CoronaVac atau Corminaty keluaran Pfizer untuk anak-anak mereka.  

“Ibu bapa boleh menyemak senarai nama serta waktu operasi Pusat Pemberian Vaksin yang menawarkan CoronaVac secara walk-in di laman web Kementerian Kesihatan dan PHCorp yang telah diumumkan sebelum ini.”

Tambahnya, bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin CoronaVac dengan selang masa empat minggu perlu diberikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur itu.

Menurut laman web CovidNow, setakat 5 Mac, sejumlah 123,053 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Awal hari ini, Malaysia melaporkan kes baharu tertinggi buat hari ketiga berturut-turut, kes baharu semalam adalah 33,406 kes.

Pada Khamis, Malaysia melaporkan rekod baharu jangkitan sebanyak 32,467 kes sebelum dipecahkan pada Jumaat dengan 33,209 kes baharu.

Ini menjadikan sudah tiga hari berturut-turut Malaysia merekodkan peningkatan tinggi, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 3.59 juta.

KKM turut melaporkan 67 kematian Covid-19, 23 daripada jumlah itu adalah kes kematian dibawa ke hospital (BID). – 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen