Puma henti operasi di Rusia buat sementara waktu


Puma menjadi yang terbaharu dalam siri syarikat utama Jerman yang mengumumkan penggantungan aktiviti perniagaan mereka di Rusia, termasuk kumpulan Volkswagen, BMW dan Mercedes-Benz. – Gambar EPA, 6 Mac, 2022.

SYARIKAT sukan Jerman, Puma berkata pada Sabtu ia akan menutup sementara operasinya di Rusia, berikutan peruncit dan perniagaan lain menggantung operasi mereka selepas pencerobohan Ukraine.

Syarikat berpangkalan di Herzogenaurach di Jerman, berkata dalam satu kenyataan ia telah “memutuskan untuk menggantung operasi semua kedainya di Rusia”, selepas pengumuman serupa pada Sabtu oleh gergasi pakaian Sepanyol Inditex, pemilik Zara.

“Kurang daripada empat peratus” pendapatan syarikat pakaian sukan Jerman itu datang dari Rusia, kata jurucakap Puma kepada AFP, dengan angka global mencecah A$7.4 bilion pada 2021.

Puma akan “terus membayar gaji penuh pekerja di lebih 100 lokasi” di seluruh negara itu, kata jurucakap itu.

Jenama Jerman pada Khamis berkata ia akan “menggantung kontraknya dengan Persekutuan Bola Keranjang Rusia”, selepas keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk mengesyorkan pengecualian atlet Rusia daripada pertandingan antarabangsa.

Puma menjadi yang terbaharu dalam siri syarikat utama Jerman yang mengumumkan penggantungan aktiviti perniagaan mereka di Rusia, termasuk kumpulan Volkswagen, BMW dan Mercedes-Benz. – AFP, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen