CHINA harus menjadi pengantara rundingan damai antara Rusia dan Ukraine kerana kuasa Barat tidak dapat memenuhi peranan itu, kata ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell.
Beijing setakat ini mengelak daripada mengutuk serangan Moscow ke atas jirannya yang pro-Barat sebagai “pencerobohan” kerana ia berusaha untuk mengekalkan hubungan rapat dengan Rusia.
Bagaimanapun Menteri Luar Wang Yi pada Selasa berkata China “sangat kesal kerana konflik telah tercetus antara Ukraine dan Rusia, dan memberi perhatian yang melampau terhadap bahaya yang dialami oleh orang awam”, lapor penyiar kerajaan CCTV.
“Tiada alternatif… Ia mestilah China, saya pasti,” kata Borrell dalam wawancara dengan akhbar harian Sepanyol El Mundo yang diterbitkan pada Jumaat.
“Diplomasi bukan sahaja Eropah atau Amerika. Diplomasi China mempunyai peranan untuk dimainkan di sini,” tambahnya.
“Kami tidak minta dan begitu juga mereka (China), tetapi kerana ia mesti menjadi kuasa dan Amerika Syarikat (AS) mahupun Eropah tidak boleh jadi (pengantara), China boleh.”
Borrell berkata adalah “jelas” EU dan AS tidak boleh menjadi pengantara dan menolak untuk menghidupkan semula format yang dipanggil Normandy, rangka kerja diplomatik empat hala yang melibatkan Rusia, Ukraine, Perancis dan Jerman.
Format itu ditubuhkan pada 2014 dalam usaha untuk menamatkan pertempuran antara Ukraine dan pemisah yang disokong Rusia di timur negara itu.
Rundingan antara Moscow dan Kyiv untuk mencari jalan menamatkan konflik berdarah akan disambung semula pada Isnin, kata perunding Ukraine David Arahamia pada Sabtu, ketika pencerobohan Presiden Rusia Vladimir Putin memasuki hari ke-10. – AFP, 6 Mac, 2022.
Komen