Rusia tahan pemain bola keranjang juara Olimpik AS


Seorang wanita warga AS yang merupakan johan Olimpik ditahan Rusia atas dakwaan berkaitan dadah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

RUSIA semalam berkata ia menahan seorang wanita warga Amerika yang merupakan juara dua kali bola keranjang peringkat Olimpik atas dakwaan berkaitan dadah ketika ketegangan antara Moscow dan Barat semakin memuncak kerana pencerobohan Ukraine.

Kenyataan dikeluarkan Perkhidmatan Kastam Persekutuan Rusia berkata pemeriksaan bagasi tangan yang dilakukan ke atas seorang warga AS yang baharu tiba dengan penerbangan dari New York pada Februari “mengesahkan kehadiran vape dan cecair dengan bau khusus”.

Pakar mendapati cecair itu adalah minyak ganja, kata kenyataan.

Kenyataan tidak menyatakan identiti wanita itu tetapi menyebut yang dia adalah “anggota Persekutuan Bola Keranjang Kebangsaan AS, juara Olimpik dua kali pasukan AS”.

Wanita yang ditahan itu berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, kata kastam.

Ramai pemain bola keranjang wanita yang bermain dalam Liga Bola Keranjang Wanita Kebangsaan menghabiskan luar musim perlawanan di Amerika dengan bermain di liga Eropah termasuk liga Rusia dan Ukraine. – AFP, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen