ARAB Saudi semalam berkata ia membatalkan hampir semua sekatan mengekang penularan Covid-19 termasuk penjarakan sosial di ruang awam dan kuarantin sebaik ketibaan bagi mereka yang sudah divaksin penuh, langkah yang boleh mempercepat ketibaan jemaah haji dan umrah.
Keputusan itu termasuk menggantung “langkah penjarakan sosial di semua ruang terbuka dan tertutup” termasuk masjid, lapor Agensi Berita Saudi yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri.
Pelitup muka pula hanya perlu dipakai di ruang tertutup, menurut keputusan itu, yang berkuatkuasa hari ini.
Arab Saudi, negara untuk dua kawasan suci penganut Islam, Mekah dan Madinah, juga tidak lagi mewajibkan pengembara yang divaksin penuh untuk menyediakan keputusan negatif PCR atau ujian kilat sebelum ketibaan mereka di negara itu atau menjalani kuarantin, kata SPA.
Pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada aktiviti haji dan umrah, yang merupakan aktiviti ekonomi utama negara itu, menjana sekitar AS$12 (RM49) bilion setiap tahun.
Menjadi tuan rumah kepada ibadah haji adalah kelebihan kepada pemerintah Saudi yang merupakan penjaga dua kota suci Islam itu yang menjadi sumber keabsahan politik mereka.
Pada 2021, wabak yang meledak memaksa pihak berkuasa Saudi melakukan pengurangan dramatik kepada jumlah jemaah haji untuk tahun kedua, dan hanya 600,000 warga dan penduduk yang sudah divaksin penuh dibenarkan melakukan haji dan umrah.
Sejak bermulanya pandemik, Arab Saudi melaporkan lebih 746,000 kes Covid-19 dengan 9,000 korban daripada jumlah keseluruhan penduduk seramai 34 juta orang. – AFP, 6 Mac, 2022.
Komen