Mastercard, Visa gantung operasi di Rusia


Gergasi pembayaran Visa dan Mastercard telah mengumumkan penangguhan operasi di Rusia berkuat kuasa serta merta berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine. – Gambar EPA, 6 Mac, 2022.

GERGASI pembayaran kad Visa dan Mastercard mengumumkan pada Sabtu akan menangguhkan operasi di Rusia, menjadi firma utama Amerika Syarikat (AS) terbaharu menyertai pembekuan perniagaan di Moscow berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.

“Melihatkan keadaan konflik semasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan persekitaran ekonomi yang tidak menentu,” Mastercard berkata ia telah “memutuskan untuk menggantung perkhidmatan rangkaian kami di Rusia.”

Visa, bagi pihaknya, berkata ia “berkuat kuasa serta-merta” dan akan “bekerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsinya di Rusia untuk menghentikan semua transaksi Visa dalam beberapa hari mendatang.”

Syarikat-syarikat besar merentasi pelbagai industri telah menghentikan perniagaan di Rusia sejak pencerobohannya bermula 10 hari lalu, termasuk segala-galanya daripada firma teknologi yang berpangkalan di AS seperti Intel dan Airbnb kepada gergasi mewah Perancis LVMH, Hermes dan Chanel.

Visa dan Mastercard telah pun mengumumkan mereka mematuhi sekatan AS dan antarabangsa yang dikenakan ke atas Rusia berikutan serangannya.

“Rakan sekerja kami, pelanggan kami dan rakan kongsi kami telah terjejas dalam cara yang kebanyakan kami tidak dapat bayangkan,” kata Mastercard, menyatakan kadnya yang dikeluarkan oleh bank Rusia tidak akan lagi disokong oleh rangkaian syarikat.

Visa juga berkata kad yang dikeluarkan di Rusia tidak lagi berfungsi di luar negara.

Kedua-dua syarikat berkata kad yang dikeluarkan di luar negara tidak lagi berfungsi di Rusia. – AFP, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen