PESAWAT yang membawa adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan ketua delegasi untuk menghadiri majlis pembukaan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 selamat mendarat di Korea Selatan hari ini, pertama kali dalam sejarah.
Pesawat Ilyushin-62 berwarna putih, tertulis di badannya “Republik Demokratik Rakyat Korea” dalam bahasa Korea, dan di bahagian ekornya pula terpampang lambang Korea Utara, mendarat di lapangan terbang Incheon, dekat Seoul.
Berada dalam pesawat itu ialah Kim Yo Jong, pemimpin pertama dalam dinasti pemerintahan Korea Utara itu yang melawat Korea Selatan sejak Perang Korea berakhir dengan gencatan senjata pada 1953. Turut serta ialah Kim Yong Nam, ketua kontinjen ke kejohanan itu.
Lawatan mereka menjadi satu titik terpenting dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terbahagi dan didorong oleh penganjuran Olimpik, walaupun secara teknikalnya, mereka masih berperang.
Korea Utara menjadi sasaran pelbagai sekatan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu susulan pengharaman program senjata nuklearnya, sementara Korea Selatan yang lebih demokratik bangkit menjadi ekonomi ke-11 terbesar dunia.
Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menyifatkan kejohanan itu sebagai “Olimpik aman” yang akan membuka pintu kepada dialog bagi meredakan ketegangan ketenteraan di semenanjung itu dan cubaan memujuk Pyongyang tidak lagi meneruskan cita-cita nuklearnya.
Delegasi Korea Utara itu dijadualkan ke Pyeongchang bagi menghadiri majlis pembukaan Olimpik lewat hari ini, yang akan turut dihadiri oleh Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe. – AFP, 9 Februari, 2018.
Komen