Bajet pertahanan China naik 7.1%


Sejumlah 1.45 trilion yuan (AS$230 bilion) diperuntukkan untuk pertahanan China pada 2022, menurut laporan bajet kerajaan. – Gambar AFP, 5 Mac, 2022.

BAJET pertahanan China-kedua tertinggi di dunia selepas AS- dijangka naik 7.1% pada 2022, umum Beijing hari ini.

Sejumlah 1.45 trilion yuan (AS$230 bilion) diperuntukkan untuk pertahanan negara, menurut laporan bajet kerajaan.

Ia bertambah sedikit berbanding 6.8% tahun lepas dan selaras dengan pertumbuhan negara itu sejak beberapa tahun lepas.

Ia melebihi sasaran pertumbuhan KDNK ditetapkan Beijing iaitu 5.5% ditumumkan berasingan oleh Perdana Li Keqiang pada Sabtu.

Dalam ucapan perasmian sesi tahunan Majlis Negara China, Li berkata Beijing akan “memperhebat latihan ketenteraan dan kesiapsiagaan pertempuran, terus teguh dan fleksible dalam melaksanakan operasi ketenteraan dan melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan China.”

Beijing membelanjakan berbilion dolar dalam proses modernisasi pertahanan sejak beberapa tahun lepas dengan sasaran menjadi kuasa ketenteraan berkelas dunia setanding dengan AS dan kuasa Barat lain.

Ketegangan ketenteraan naik mendadak sejak beberapa tahun lepas antara China dan pesainya termasuk AS dan India apabila China memperhebat pembinaan pulau buatan manusia di seluruh kawasan Laut China Selatan, pertempuran di sempadan Himalaya dan kemelut kedaulatan Taiwan.

Bajet ketenteraan Beijing masih rendah berbanding Washington yang memperuntukkan AS$700 bilion pada 2022.

Tetapi ramai penganalisis ketenteraan percaya jumlah perbelanjaan sebenar ketenteraan China jauh lebih tinggi berbanding yang diumumkan kepada awam.

“Tentera Pembebasan Rakyat (LPA) adalah sayap bersenjata Parti Komunis China dan kepimpinan parti perlu mendapatkan jaminan sokongan berterusan daripada kepimpinan tentera,” kata James Char, pakar ketenteraan China di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

“Salah satu cara (mendapatkan jaminan sokongan) adalah menunjukkan yang keperluan PLA diberi keutamaan.”

Presiden China Xi Jinping bulan lepas menggesa tentera melakukan “ujian berorientasikan pertempuran” dan meningkatkan keupayaan “perang saraf pintar berasaskan maklumat”.

Sejak beberapa tahun lepas, China sudah menjalankan dua ujian peluru berpandu balistik hipersonik. – AFP, 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen