Ribuan pengguna di Eropah terjejas akibat serangan siber


Hampir 9,000 pelanggan perkhidmatan internet satelit disediakan Nordnet di Perancis tidak mempunyai talian berikutan peristiwa siber pada 24 Februari di Viasat. – Gambar EPA, 5 Mac, 2022.

RIBUAN pengguna di seluruh Eropah mengalami gangguan perkhidmatan internet dengan sumber berkata ia mungkin serangan siber susulan permulaan serangan Russia terhadap Ukraine.

Orange berkata hampir 9,000 pelanggan perkhidmatan internet satelit yang disediakan anak syarikatnya Nordnet di Perancis tidak mempunyai talian berikutan “peristiwa siber” pada 24 Februari di Viasat, pengendali satelit Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pelanggannya.

Eutelsat, syarikat induk perkhidmatan internet satelit bigblu, juga mengesahkan kira-kira satu pertiga daripada 40,000 pelanggan bigblu di Eropah, Jerman, Perancis, Hungary, Greece, Itali dan Poland terjejas berikutan gangguan terhadap Viasat.

Sementara itu di AS, Viasat pada Rabu berkata sebahagian rangkaiannya terganggu bagi pelanggan di Ukraine dan tempat lain di Eropah yang bergantung pada satelit KA-SAT.

Bagaimanapun, Viasat tidak memberikan butiran lanjut, hanya berkata polis dan rakan kongsi kerajaan sudah dimaklumkan dan akan membantu siasatan.

Ketua Pusat Arahan Angkasa Perancis Michel Friedling berkata serangan siber berkata.

“Selama beberapa hari, sejurus selepas permulaan serangan, rangkaian satelit yang secara umum meliputi Eropah dan Ukraine, menjadi mangsa serangan siber, dengan puluhan ribu terminal tidak berfungsi serta-merta selepas serangan itu,” katanya sambil merujuk rangkaian awam, Viasat.

Pakar ketenteraan dan siber bimbang konflik Russia-Ukraine boleh membawa kepada tercetusnya serangan “cyber Armageddon” yang bukan sahaja mengakibatkan kesan besar kepada orang awam di Ukraine dan Russia ia, tetapi juga di seluruh dunia, melalui kesan spillover. – AFP, 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen