SYARIKAT gergasi barangan mewah Perancis, LVMH, Hermes dan Chanel menutup sementara semua butik mereka di Russia, susulan pencerobohan tentera negara itu terhadap Ukraine pada 24 Februari.
Kumpulan Hermes mempunyai tiga outlet di Russia, termasuk satu di pusat beli-belah Gum di Red Square, dengan 60 kakitangan.
“Melihat kepada situasi di rantau itu, LVMH dengan rasa dukacita mengumumkan penutupan sementara semua premis di Russia bermula 6 Mac,” kata jurucakap LVMH.
Pengumuman itu akan menjejaskan 124 butik.
Kumpulan itu turut mengumumkan sumbangan AS$5.5 juta kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Chanel, yang mempunyai 17 butik di Russia, berkata penutupan sementara itu perlu dilakukan susulan keadaan di negara itu yang rumit menyukarkan operasi.
Hermes berkata ia terpaksa mengambil keputusan menutup sementara semua butiknya di Russia dan menghentikan aktiviti komersial di negara itu bermula 4 Mac.
Ketika menyiarkan keputusan kewangan bulan lalu, Hermes berkata ia bercadang untuk membuka butik di Saint Petersburg tahun ini, tetapi semalam memaklumkan rancangan itu ditangguhkan.
Beberapa syarikat multinasional mengumumkan pemberhentian sementara aktiviti di Russia, termasuk syarikat perabot besar Sweden, IKEA.
“Perang ini memberi kesan besar kepada kemanusiaan. Ia juga menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan keadaan perdagangan,” kata IKEA.
Antara syarikat lain yang turut menghentikan operasi di Russia ialah Airbnb, ExxonMobil, Apple, Boeing dan Ford. – AFP, 5 Mac, 2022.
Komen