Putin nafi tentera Russia bom bandar di Ukraine


Seorang lelaki berdiri di depan bangunan pangsapuri yang musnah selepas dibom tentera Russia di bandar Chernihiv semalam. Seramai 47 terkorban dalam serangan tentera Russia di kawasan perumahan termasuk sekolah. – Gambar AFP, 5 Mac, 2022.

PRESIDEN Russia Vladimir Putin menerusi panggilan telefon kepada Canselor Jerman Olaf Scholz semalam, menafikan tenteranya mengebom bandar di Ukraine, berkata maklumat itu palsu.

Putin berkata laporan dakwaan serangan udara berterusan di Kyiv dan bandar besar lain adalah propaganda, kata Kremlin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dialog mengenai Ukraine hanya boleh dilakukan jika tuntutan Russia dipenuhi.

“Putin mengesahkan Russia terbuka untuk berdialog dengan Ukraine, serta dengan semua pihak yang mahukan keamanan di Ukraine. Tetapi dengan syarat semua tuntutan Russia dipenuhi,” kata Kremlin.

Ini termasuk status neutral dan bukan nuklear Ukraine, “denazifikasi”, pengiktirafan Crimea sebagai sebahagian daripada Russia dan kedaulatan wilayah pemisah di timur Ukraine.

“Harapan itu sudah dinyatakan dan ketika rundingan pusingan ketiga yang dirancang, wakil Kyiv perlu mengambil pendirian yang munasabah,” kata Kremlin.

Mesyuarat delegasi seterusnya antara Russia dan Ukraine dijangka pada hujung minggu, menurut seorang perunding Kyiv. – AFP, 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen