AIRASIA yakin permintaan kukuh daripada kalangan pengembara mampu membantu syarikat penerbangan tambang rendah itu menangani impak konflik Rusia-Ukraine.
Ketika berkongsi keyakinan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tony Fernandes, berkata pihaknya juga tidak bimbangkan krisis ketenteraan itu memandangkan terdapat banyak permintaan untuk perjalanan udara berbanding penawarannya.
“Lebih ramai orang mahu melakukan perjalanan udara berbanding dengan (tawaran penerbangan) yang kami dapat sediakan.
“(Kadar) tambang mungkin lebih tinggi susulan kenaikan harga minyak semasa, namun secara relatifnya masih rendah berikutan penurunan harga ujian Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen #TimeToListen di Kuala Lumpur hari ini.
Malah, Tony juga berpendapat trend kenaikan harga minyak itu lebih bersifat sementara.
“Ia akan kembali susut apabila konflik Rusia-Ukraine stabil. Ini ditambah pula dengan faktor masih banyak lagi minyak yang belum dikeluarkan (ke pasaran) manakala Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu pula mengeluarkan kapasiti yang sama,” katanya.
Harga minyak mentah Brent kembali meningkat ke paras melebihi AS$114 setong pada awal Jumaat selepas susut lebih 2% semalam susulan konflik ketenteraan Rusia-Ukraine yang terus meruncing.
Selain itu, mengulas perbankan digital, Tony berkata, kumpulan itu akan meneruskan misi untuk memperkukuh tawaran pembiayaannya, walaupun tanpa lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM dijadual mengumumkan penerima lesen perbankan digital itu bulan ini.
Menurut Tony, perkhidmatan BigPay kumpulan itu mendapat lesen pinjaman wang digital daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang membolehkan penawaran produk pembiayaan berkaitan.
“Kami sebuah syarikat inovatif. Ya, sudah pasti kami mahukan lesen perbankan, tetapi ini terpulang kepada BNM dan kami yakin dapat menawarkan perkhidmatan baik untuk Malaysia dan Asean, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.
Malah, selain Malaysia, BigPay juga dalam proses menunggu kelulusan lesen perbankan digital di Thailand, Indonesia dan Filipina, kata beliau.
“Aspek keterangkuman AirAsia adalah penerbangan manakala di Capital A, elemen itu adalah untuk membolehkan semua orang mendapat pinjaman.
“Oleh itu, dari segi kedudukan sebagai teknologi kewangan (fintech) Asean, kami jauh ke hadapan berbanding yang lain. Ia sesuatu yang hebat jika kami mendapat lesen perbankan itu namun jika sebaliknya, kami tetap akan meneruskan usaha seperti biasa,” katanya. – Bernama, 4 Mac, 2022.
Komen