Syarikat Jepun beri amaran tinggalkan Britain jika Brexit jejas keuntungan


Duta Besar Jepun ke Britain, Koji Tsuruoka tiba di 10 Downing Street bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri Britain Theresa May di London, Britain pada 8 Februari. – Gambar EPA, 9 Februari, 2018.

DUTA Besar Jepun ke Britain, Koji Tsuruoka, memberi amaran kepada Perdana Menteri Theresa May di London pada Khamis mengenai kesan buruk kesepakatan Brexit terhadap syarikat Jepun, lapor agensi berita China Xinhua.

Duta berkenaan berkata syarikat Jepun akan meninggalkan Britain jika hubungan Britian dengan Kesatuan Eropah (EU) tidak menguntungkan mereka untuk terus kekal di negara itu.

“Jika tidak ada keuntungan untuk terus beroperasi di UK, bukan hanya syarikat Jepun, syarikat swasta juga tidak boleh meneruskan operasi.

“Ia adalah semudah itu dan amat berisiko. Saya rasa kita semua perlu ingat perkara ini,” katanya kepada media di luar 10 Downing Street selepas May menjadi tuan rumah rundingan meja bulat dengan wakil kanan syarikat Jepun, yang merupakan pelabur penting di Britain.

Kepentingan Jepun di Britain termasuk dalam bidang automotif, perbankan dan teknologi komunikasi maklumat.

Tsuruoka berkata syarikat Jepun gembira beroperasi di Britain dan ingin kekal, namun keputusan itu bergantung kepada hasil rundingan Brexit.

“Persoalannya ialah sama ada persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak akan membenarkan syarikat Jepun untuk terus beroperasi di UK.” – Bernama, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen