PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa Moscow menggunakan keganasan nuklear dan mahu mengulangi tragedi Chernobyl susulan serangan terbaru tentera Russia terhadap loji kuasa nuklear negara itu.
Susulan itu, beliau merayu pemimpin dunia untuk menghalang Eropah daripada “nazak akibat bencana nuklear” selepas loji terbesar di benua itu terbakar akibat dibom.
“Tiada negara selain Russia yang pernah menembak unit kuasa nuklear,” katanya dalam mesej video yang dikeluarkan pejabatnya.
“Ini kali pertama dalam sejarah kita. Dalam sejarah manusia. Negara pengganas kini menggunakan keganasan nuklear.”
Stesen loji janakuasa di Zaporizhzhia, sebuah bandar perindustrian di tenggara Ukraine membekalkan 40% kuasa nuklear negara dan menurut Zelensky, ia menempatkan enam daripada 15 reaktor Ukraine.
Menurut Kyiv, kebakaran bermula selepas tentera Russia melepaskan tembakan ke arah bangunan itu.
Bagaimanapun peralatan penting di stesen itu tidak terjejas dan tahap radiasi masih normal, pegawai tempatan memberitahu badan pemerhati atom PBB.
Fasiliti nuklear Ukraine menjadi kebimbangan utama selepas tentera Russia menyerang negara itu minggu lalu dan mula membedil bandar dengan peluru dan peluru berpandu.
“Jika berlaku letupan, ia adalah pengakhiran segala-galanya. Pengakhiran kepada Eropah,” kata Zelensky.
“Hanya jika Eropah mengambil tindakan segera, boleh menghentikan tentera Russia.” – AFP, 4 Mac, 2022.
Komen