.jpg)
SIDANG Khas Kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan resolusi “Tindakan keganasan ke atas Ukraine” disokong oleh Malaysia dalam undian yang dijalankan.
Malaysia sentiasa istiqamah dengan Piagam PBB ialah prinsip asas komitmen integriti wilayah serta kedaulatan sesebuah negara yang seharusnya tidak dicabuli mana-mana negara.
Namun sejauh manakah komitmen seperti ini dihormati PBB dalam isu berkaitan dengan tindakan dan pencabulan AS, Israel dan kuasa Barat lain dalam isu melibatkan Palestin, Iraq, Syria, Venezuela, Yaman, Afghanistan misalnya? Semacam ada pilih kasih di sini.
Jika PBB sanggup mengadakan sidang khas untuk mengambil tindakan ke atas Russia, mengapa tiada tindakan dimbil ke atas apa yang AS dan Israel lakukan ke atas Palestin dan negara yang disebutkan di atas?
Ia memperlihatkan wajah kemunafikan dan hipokrasi AS, Israel dan negara kuasa Barat yang lain. Apa yang dapat dilakukan negara Islam berhubungan isu integriti dan kedaulatan yang melibatkan negara Islam yang dijajahi dan ditakluki Nato, Israel dan AS misalnya.
Jika kuasa Eropah, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), AS dan Israel beranggapan kedaulatan Ukraine haruslah dipertahankan kerana diserang Russia, kenapa mereka tidak melakukan perkara yang sama ke atas Palestin misalnya?
Pendirian tegas AS atau Nato dalam isu serangan Russia ke atas Ukraine harus disamakan isu pencerobohan bumi Palestin oleh sebuah regim haram yang tidak pernah membuat sempadan khususnya kerana ideologi Zionis mahukan seluruh wilayah Palestin sebagai haknya.
Jika dalam isu Ukraine, AS, kuasa Barat dan Israel dengan tegasnya menyuarakan mengenai kedaulatannya tidakkah pendirian yang sama harus dilakukan ke atas Palestin dan penduduknya?
Tanah Palestin sentiasa dicerobohi, dirampas dan warganya dibunuh dan dizalimi. Mereka menjadi pelarian di serata dunia.
Dunia gempar dengan Russia menakluki Ukraine, masyarakat antarabangsa berasa sedih dengan keadaan rakyatnya yang mati, cedera dan kehilangan tempat tinggal.
Sehingga rencana ini dtulis, kira-kira 1 juta warga Ukraine telah meninggakan Kyiv mencari perlindungan di negara jiran.
Sekiranya Presiden Russia Vladimir Putin merasionalkan alasan tenteranya masuk ke Ukraine untuk menyelamatkan dua republik yang mereka iktiraf kemerdekaannya iaitu Donbass dan Lugansk yang meminta pertolongan kerana diserang pihak tentera Ukraine, mengapa tiada Barat apa tah lagi negara Islam yang berani mempertahankan Gaza dan Tebing Barat daripada serangan regim pengganas Yahudi.
AS dan Nato harus cermin diri melihat apa yang telah mereka lakukan di Libya yang menjadi huru hara, malah terdapat isu penjualan hamba di sana, Libya berpecah ke beberapa wilayah. Apa yang telah AS lakukan ke atas Iraq dan Afghanistan sehingga akhirnya membawa kepada pengunduran tentera AS baru-baru ini.
Penduduk Palestin berhak bertanya kenapakah para pemimpin Barat, yang diketuai Presiden AS Joe Biden yang telah mengenakan sekatan yang keras ke atas Russia tidak mengenai tindakan yang sama ke atas Israel yang juga bersikap imperialis dan menjajah bumi Palestin?
Pemimpin Barat memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap apa yang dilakukan pendatang asing Yahudi ke atas tanah Palestin, merampas dan mencuri tanah penduduk Palestin di mana tentera pengganas Zionis mengepung Gaza dan membina tembok di Tebing Barat.
Regim pengganas Israel melaksanakan jenayah apartheid di wilayah-wilayah yang diduduki, lebih pelik lagi apabila Israel menyatakan sokongan ke atas kedaulatan Ukraine yang diserang Russia. Ini adalah benar-benar kemunafikan di siang hari.
Apa yang Barat lakukan di Yaman, Iraq, Palestin, Venezuela, Afghanistan, Syria dan Libya, tidakkah mereka melakukan jenayah kemanusiaan yang lebih serius lagi dan kebanyakannya negara Islam yang menjadi mangsa kepada imperialisme Amerika.
Bukanlah kita menyokong Putin atau anti Biden tetapi yang dipentingkan adalah keamanan, integriti, kedaulatan, keadilan namun tertonjolnya sifat munafik yang tinggi.
Tidak dinafikan ekonomi AS banyak bergantung kepada berlakunya konflik perang di serata dunia.
Terdapat 750 pengkalan tentera AS di serata dunia dan merasa gembira untuk mengepung Russia dengan mendirikan pengkalan tentera Nato.
Putin berasa gelisah dengan situasi ini bahkan marah dengan langkah Nato dan menyuarakan bantahan terbuka sejak Disember lepas. Tetapi Washington tidak mengambil serius malah bersikap endah tak endah.
Jika mereka tidak memperdulikan kata dua Putin, adakah mereka akan ambil berat dan prihatin sekiranya rakyat dan pemimpin Palestin menyuarakan bantahan ke atas segala pembunuhan, kekejaman dan tindakan ketidakmanusiaan yang berlaku ke atas tanah air mereka.
Nampaknya dalam isu serangan Russia ke atas Ukraine rasanya AS bertemu beliung dengan ruyungnya. Helang perkasa bertemu si beruang gergasi. – 4 Mac, 2022
* Ismail Hashim Yahaya adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran Unisel.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen