EU beri perlindungan kepada pelarian Ukraine


Seorang kanak-kanak melihat ke luar tingkap bas ketika proses pemindahan keluar orang awam ke Kiev, Ukraine. Lebih sejuta rakyat Ukraine kini pelarian perang keluar dari negara itu. – Gambar EPA, 4 Mac, 2022.

KESATUAN Eropah (EU) semalam bersetuju meluluskan perlindungan sementara untuk pelarian perang di Ukraine – setakat ini mencecah sejuta – sementara turut menubuhkan hab kemanusiaan di Romania.

Langkah diambil EU itu selaras dengan sekatannya dikenakan terhadap Russia susulan pencerobohan itu, yang masuk hari kelapan.

Di Washington, pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan langkah serupa, memberikan status perlindungan sementara kepada rakyat Ukraine yang sudah berada di negara itu.

Ini bermakna mereka boleh terus berada di Ameriak Syarikat (AS) dan ancaman deportasi ditarik balik.

Menteri dalam negeri EU menyatakan persetujuan itu dalam mesyuarat di Brussels bertujuan mengaktifkan mekanisme perlindungan sementara yang dirangka dua dekad lalu – sebagai respons terhadap perang di Yugoslavia – tetapi ia tidak pernah digunakan sebelum ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Dalam Negeri Eropah Ylva Johansson yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata di Twitter, ia satu keputusan yang bersejarah.

Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin berkata EU akan memberikan perlindungan sementara kepada pelarian Ukraine.

Mereka memberitahu sidang media keputusan itu dicapai sebulat suara semua menteri yang mewakili 27 negara EU.

Menerusi mekanisme perlindungan EU itu, perlindungan langsung diberikan kepada individu yang lari daripada bahaya di Ukraine dan pada masa ini semua negara anggota EU perlu membantu dan bertanggungjawab. – AFP, 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen