PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky menggesa Barat meningkatkan penghantaran bantuan ketenteraan ke Ukrainem dan turut mengingatkan kemungkinan pencerobohan Russia akan berkembang ke seluruh Eropah.
“Jika anda tidak ada kuasa untuk menutup langit, maka berikan saya pesawat,” katanya pada sidang media.
“Jika kami tiada lagi… moga dijauhkan, Latvia, Lithuania, Estonia akan jadi mangsa seterusnya. Percayalah,” katanya.
Beliau menggesa perbincangan langsung dengan pemimpin Russia Vladimir Putin kerana menganggap ia satu-satunya cara untuk menghentikan perang.
“Kami tidak menyerang Russia dan kami tidak bercadang untuk menyerangnya. Apa yang anda mahu daripada kami? Tinggalkan tanah air kami,” katanya kepada Putin.
“Duduk dengan saya. Hanya kurang 30 meter jauhnya seperti (Presiden Perancis Emmanuel Macron),” kata pemimpin Ukraine itu, merujuk kepada Putin yang menerima pemimpin dunia di meja rundingan.
Zelensky yang baru beberapa minggu lalu cuba menenangkan rakyat Ukraine berhubung dakwaan Amerika Syarikat (AS) yang Russia merancang untuk menyerang negaranya berkata: “Tiada siapa menyangka dalam dunia moden seorang lelaki boleh berkelakuan seperti binatang.”
Putin melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine minggu lalu. – AFP, 4 Mac, 2022.
Komen