PERANCIS akan menamatkan kebanyakan sekatan Covid-19 bulan ini termasuk memansuhkan pas vaksin untuk makan di premis atau menghadiri program hiburan, kata Perdana Menteri Jean Castex.
Selepas lonjakan kes disebabkan varian Omicron, keadaan kesihatan bertambah baik sejak beberapa minggu lalu dengan kurang memberi tekanan ke atas hospital, katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata mulai 14 Mac, pas vaksin yang membuktikan seseorang divaksin tiga kali terhadap Covid-19 tidak lagi diperlukan.
Pelaksanaan pas vaksin yang diperkenalkan pada musim panas pada awalnya mencetuskan bantahan apabila ia diwajibkan kepada mana-mana individu yang mahu ke kafe atau restoran, menaiki kereta api antara bandar atau melawat tempat seperti pawagam dan teater.
Castex bagaimanapun berkata pas itu masih diperlukan untuk ke hospital atau rumah persaraan untuk melindungi mereka yang paling terdedah.
Mulai 14 Mac, topeng pelitup muka hanya diperlukan ketika menaiki pengangkutan awam, memberi isyarat penggunaannya tidak lagi diperlukan di tempat kerja atau di sekolah.
Perancis merekodkan 138,762 kematian akibat Covid-19 sejak wabak itu bermula dua tahun lalu.
Presiden Emmanuel Macron mungkin menggunakan cara pengendaliannya terhadap wabak itu untuk bahan kempen pemilihan semula dalam pilihan raya bulan depan, namun kempen itu lebih dibayangi perang Russia terhadap Ukraine. – AFP, 4 Mac, 2022.
Komen