SERAMAI 33 orang awam maut semalam dalam serangan tentera Russia di kawasan perumahan, termasuk sekolah dan bangunan pangsapuri tinggi, di bandar Chernihiv, utara Ukraine, kata pihak berkuasa.
Perkhidmatan kecemasan Ukraine berkata 18 mangsa turut cedera dalam serangan itu.
Chernihiv terletak 120km dari barat daya Kyiv, di mana tentera Russia cuba menceroboh dari arah utara.
Timbalan Datuk Bandar Chernihiv Regina Gusak berkata Russia menyerang menggunakan bom.
Perkhidmatan kecemasan Ukraine turut menyiarkan gambar menunjukkan asap tebal dari pangsapuri yang musnah teruk, dengan serpihan bersepahan di seluruh kawasan sementara penyelamat mengangkat mayat.
“Pesawat Russia turut menyerang dua sekolah di kawasan Staraya Podusivka dan rumah persendirian. Pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi di kawasan itu,” kata Gabenor Chernihiv Vyacheslav Chaus.
Sejak ia menceroboh Ukraine minggu lalu, Russia berkata ia tidak menyasarkan kawasan orang awam, sedangkan bukti yang ada menunjukkan Russia tetap menyerang kawasan awam.
Ukraine berkata sekurang-kurangnya 350 orang awam terbunuh sejak Presiden Russia Vladimir Putin melancarkan serangannya.
Serangan dilakukan ketika pegawai Ukraine dan Russia bertemu untuk rundingan gencatan senjata di sempadan Belarus-Poland pada Khamis.
Putin semalam berkata dia akan meneruskan pencerobohannya di Ukraine, selepas panggilan telefon dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Pemimpin Russia tidak menunjukkan tanda untuk berundur walaupun pelbagai sekatan dikenakan kuasa Barat bakal memusnahkan ekonomi Moscow. – AFP, 4 Mac, 2022.
Komen