KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) melalui Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Bersepadu (JKPB) bergerak secara bersepadu bagi membantu mangsa banjir di negeri Pantai Timur.
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan penugasan JKPB yang diketuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Seramai 683 pegawai dan anggota polis kontinjen Pahang, Terengganu dan Kelantan diatur gerak bagi bantuan operasi banjir. Bagi tujuan ini, sebanyak 1,257 aset kenderaan dan peralatan kecemasan PDRM diatur gerak termasuk 52 bot, 31 van, 108 kenderaan pacuan empat roda dan 42 lori,” menurut kenyataan itu.
Menurut KDN, seramai 1,343 anggota Rela turut dikerah membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dengan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS) manakala tiga lori, 10 kenderaan pacuan empat roda dan tiga van jabatan itu turut diatur gerak bagi tujuan itu.
Kenyataan itu juga menyebut seramai 59 anggota APMM bersiap sedia di negeri terbabit banjir dengan empat aset darat diatur gerak termasuk lori dan empat kenderaan pacuan roda.
Menurut KDN, JPN dan JIM akan menyediakan perkhidmatan penggantian kad pengenalan, pasport dan sijil kelahiran secara percuma kepada semua mangsa banjir yang mengalami kemusnahan dokumen penting itu.
Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan berkenaan akan dilaksanakan melalui bas bergerak di kawasan terkesan.
KDN turut mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat manakala kementerian itu sentiasa komited memantau dan memberi bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan kecemasan semasa bencana banjir.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-22663333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau talian MERS 999 untuk sebarang maklumat berhubung situasi banjir. – Bernama, 3 Mac, 2022.
Komen