Iran berang atletnya di Pyeongchang 2018 tidak diberi hadiah telefon pintar


Samsung pada Rabu lalu sebagai penaja PyeongChang 2018, enggan memberikan hadiah berupa telefon pintar Galaxy Note 8 kepada atlet Iran dan Korea Utara di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang. – Gambar AFP, 9 Februari, 2018.

KEMENTERIAN Luar Iran semalam memanggil Duta Besar Korea Selatan untuk membantah keputusan Samsung Electronics menyekat hadiah telefon pintar kepada atlet Iran yang mengambil bahagian di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Bahram Qasemi berkata keputusan itu yang dibuat atas alasan mandat sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah “tidak bermoral,” lapor agensi berita China Xinhua.

Pada Rabu, diumumkan Samsung sebagai penaja PyeongChang 2018, enggan memberikan hadiah berupa telefon pintar Galaxy Note 8 kepada atlet Iran dan Korea Utara.

“Iran membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral ini kerana ia bercanggah dengan semangat Sukan Olimpik yang menetapkan slogannya sebagai tidak mengira bangsa, warna kulit, agama dan politik,” kata Qasemi.

Sehubungan itu, Iran mendesak agar Samsung memohon maaf di atas “tindakan yang tidak bijak tersebut,” serta memberi amaran bahawa ia akan “memberi kesan serius” terhadap hubungan perdagangan Iran dan syarikat Korea Selatan. – Bernama, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen