CHINA menafikan laporan bahawa republik itu meminta Rusia menangguhkan pencerobohan ke atas Ukraine sehingga selesai Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, ketika penelitian antarabangsa semakin meningkat mengenai hubungan antara dua kuasa besar dunia itu.
Beijing telah mengambil sikap berhati-hati terhadap tindakan sekutu rapatnya dan Presiden Xi Jinping mengadakan pertemuan bulan lalu dengan rakan sejawatannya dari Rusia di mana pemimpin itu bersetuju membuat perkongsian “tanpa had”.
Sejak itu, Beijing tidak mengutuk pencerobohan ke atas Ukraine tetapi telah menghentikan sokongan secara langsung.
Semalam, The New York Times melaporkan pegawai China telah memberitahu pegawai kanan Rusia supaya tidak menyerang Ukraine sebelum berakhirnya Sukan Olimpik Musim Sejuk, sambil memetik pegawai kanan dalam pentadbiran Presiden AS Joe Biden serta seorang pegawai Eropah.
Menurut laporan itu, Beijing mempunyai beberapa tahap pengetahuan langsung tentang rancangan atau niat perang Rusia sebelum pencerobohan bermula minggu lepas empat hari selepas upacara penutupan Sukan Olimpik.
Ketika ditanya pada sidang media hari ini, Beijing menafikan laporan itu.
“Laporan New York Times adalah berita palsu. Kata-kata yang melencong dan mengalihkan kesalahan ini benar-benar keji,” kata jurucakap kementerian luar Wang Wenbin.
Dalam minggu-minggu sebelum pencerobohan pada 24 Februari, media negara China berulang kali menolak amaran Barat sebagai gembar-gembur AS dan tidak memindahkan rakyatnya dari Ukraine.
Presiden Rusia Vladimir Putin adalah pemimpin dunia pertama yang bertemu Xi dalam hampir dua tahun dan tetamu kehormat pada upacara pembukaan Sukan Musim Sejuk.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menerima pakai resolusi yang mengecam pencerobohan Moscow, dan menuntut Rusia “segera” berundur dari Ukraine. – AFP, 3 Mac, 2022.
Komen