1 juta pelarian tinggalkan Ukraine dalam seminggu, kata UNHCR


Pelarian dari Ukraine yang tiba di Stesen Kereta Api Nyugati di Budapest, Hungary, hari ini. Penduduk Ukraine terpaksa meninggalkan negara itu demi keselamatan susulan pencerobohan tentera Rusia pada 24 Februari lalu. – Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

SEBANYAK satu juta pelarian telah meninggalkan Ukraine dalam tempoh seminggu sejak pencerobohan Rusia, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Badan dunia itu memberi amaran bahawa berjuta-juta lagi mungkin akan melarikan diri melainkan konflik itu berakhir dengan kadar segera.

“Hanya dalam tujuh hari kami menyaksikan penghijrahan satu juta pelarian dari Ukraine ke negara jiran,” kata ketua pelarian PBB Filippo Grandi di Twitter.

“Melainkan konflik itu dapat ditamatkan serta-merta, berjuta-juta lagi berkemungkinan terpaksa meninggalkan Ukraine,” Grandi memberi amaran.

Menurut data UNHCR yang kerap dikemas kini, 1,002,860 kini telah meninggalkan Ukraine sejak Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan pencerobohan berskala penuh pada 24 Februari.

Grandi berkata angka itu meningkat dengan kelajuan luar biasa.

“Saya telah bekerja dalam kecemasan pelarian selama hampir 40 tahun, dan jarang saya melihat penghijrahan secepat ini,” katanya.

“Jam demi jam, minit demi minit, lebih ramai orang melarikan diri daripada realiti keganasan yang menakutkan,” katanya.

Lebih separuh daripada mereka yang melarikan diri dari Ukraine telah menyeberang ke negara jiran, Poland. Hungary, Moldova, Hungary dan Slovakia juga mengalu-alukan ramai pelarian.

UNHCR berkata lebih 505,500 orang telah meninggalkan Ukraine ke Poland pada minggu lalu.

Pengawal sempadan Poland meletakkan angka itu lebih 575,000 pada awal hari ini, dengan 95,000 menyeberang pada Rabu sahaja.

Tidak terkira jumlah penduduk yang telah dipindahkan di dalam Ukraine.

Grandi berkata kakitangan UNHCR dan anggota kemanusiaan lain “bekerja di mana dan bila mereka boleh dalam keadaan yang menakutkan” di dalam Ukraine. – AFP, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen