Toyota gantung operasi kilang di Rusia


Jurucakap Toyota memberitahu AFP bahawa kilang Saint Petersburg yang menggaji kira-kira 2,600 pekerja, mengesahkan mengalami gangguan bekalan berikutan konflik Rusia-Ukraine. – Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

PENGELUAR kereta terlaris dunia dari Jepun, Toyota akan menggantung satu-satunya operasi kilangnya di Rusia dan menghentikan penghantaran kenderaan ke negara itu, sambil memetik “gangguan rantaian bekalan” yang dikaitkan dengan serangan Moscow ke atas Ukraine.

Menurut Toyota, kilangnya di Saint Petersburg mengeluarkan sekitar 80,000 kenderaan tahun lepas, terutamanya untuk pasaran Rusia dan mewakili hanya sebahagian kecil daripada 10.5 juta kenderaan yang dibuat di seluruh dunia oleh kumpulan automotif Jepun itu.

Jurucakap Toyota memberitahu AFP bahawa kilang Saint Petersburg yang menggaji kira-kira 2,600 pekerja, mengesahkan mengalami gangguan bekalan berikutan konflik itu.

Toyota tidak mempunyai kilang di Ukraine tetapi berkata operasi jualan di negara itu digantung sejak 24 Februari, apabila Moscow melancarkan serangan.

Kerajaan Barat, pertubuhan sukan dan syarikat besar telah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia berikutan serangan yang dikutuk di peringkat antarabangsa itu.

Sementara itu, beberapa firma lain di Jepun turut mengumumkan bahawa mereka menghentikan atau mengubah perniagaan akibat daripada situasi itu.

Menurut Honda, syarikat itu telah menggantung semua eksport ke Rusia “sehingga diberitahu kelak”, walaupun firma itu hanya mengeksport sekitar 3,000 kereta dan motosikal setahun ke negara tersebut.

Selain itu, Mazda yang menjual kira-kira 29,000 kenderaan di Rusia tahun lepas mengumumkan telah menghentikan tempahan kontena untuk penghantaran ke negara itu dan akan meneruskan operasi kilang usaha samanya di Vladivostok sehingga komponennya habis.

Nissan dan Mitsubishi mengambil langkah lebih berhati-hari dan mereka sedang menyemak keadaan dari semasa ke semasa.

Syarikat penerbangan Jepun juga terpaksa menyesuaikan diri dengan penutupan ruang udara tit-for-tat, dengan Japan Airlines dan All Nippon Airways membatalkan beberapa laluan dan mengubah laluan yang lain untuk mengelak dari Rusia, sekali gus menambah tempoh masa beberapa penerbangan. – AFP, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen