Pendakwa kaji kes serangan seksual Weinstein


Polis Los Angeles sudah menyerahkan tiga kes serangan seksual terhadap produser filem terkemuka Hollywood, Harvey Weinstein kepada pendakwa raya di Pejabat Peguam Daerah. – Gambar AFP, 9 Februari, 2018.

POLIS Los Angeles menyerahkan tiga kes serangan seksual terhadap produser filem terkemuka Hollywood, Harvey Weinstein kepada pendakwa raya di Pejabat Peguam Daerah.

“Tiga kes dihantar ke pejabat kami pada 1 Februari oleh jabatan polis Los Angeles berkenaan Weinstein dan kami sedang menyemaknya,” kata jurucakap Greg Risling dalam satu kenyataan, tanpa butiran lanjut.

Pejabat peguam juga dipercayai akan menyemak semula dua lagi kes yang dihantar oleh polis Beverly Hills.

Deretan wanita terkenal Hollywood termasuk Ashley Judd, Gwyneth Paltrow, Kate Beckinsale dan Salma Hayek menuduh Weinstein melakukan pelbagai jenayah seksual, daripada gangguan sehinggalah perbuatan rogol.

Produser veteran itu, yang dilaporkan sedang diberi rawatan untuk ketagihan seksual ketika berdepan siasatan polis di New York dan London, berulang kali menafikan mengadakan hubungan seks tanpa persetujuan.

Pelakon Uma Thurman, yang pernah memegang peranan ikonik dalam filem “Pulp Fiction” dan “Kill Bill” terbitan studio Miramax yang ada kaitan dengan Weinstein, adalah individu terbaru mendakwa produser itu berkelakuan tidak senonoh terhadapnya dan berbogel di depannya.

Peguam Daerah Los Angeles Jackie Lacey pada November berkata beliau menubuhkan pasukan khas untuk menilai kes “penderaan seksual dalam industri hiburan”.

Beliau berkata pasukan itu termasuk pendakwa yang pakar dalam jenayah seks yang akan menyemak kes bagi menentukan wujudnya pendakwaan jenayah.

Tuduhan serangan seksual berterusan dengan semakin ramai mangsa tampil, sejak The New York Times dan The New Yorker mendedahkan tentang serangan seksual yang dilakukan taikun dunia perfileman itu.

Polis Britain sedang menyiasat tuduhan serangan seksual yang dibuat oleh sembilan wanita terhadap Weinstein, menurut beberapa laporan media.

Skandal Weinstein membuka kepada tuduhan serangan seksual terhadap lelaki berkedudukan dan berkuasa dalam dunia hiburan, politik dan media, menyebabkan banyak industri mengkaji semula dasar tempat kerja mereka.

Terkini, model terkenal Amerika Kate Upton, dalam satu temu bual disiarkan majalah Time menuduh pakar fesyen terkemuka Paul Marciano melakukan serangan seksual terhadapnya. – AFP, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen