Abramovich buat keputusan jual Chelsea


Pemilik Chelsea dari Rusia Roman Abramovich berkata beliau telah membuat keputusan sukar untuk menjual kelab Liga Perdana Inggeris itu.– Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

PEMILIK Chelsea dari Rusia, Roman Abramovich pada Rabu berkata beliau telah membuat keputusan “sangat sukar” untuk menjual kelab Liga Perdana itu, berjanji bahawa hasil akan disalurkan kepada mangsa perang di Ukraine.

Jutawan itu percaya ia adalah demi “kepentingan terbaik” pemegang Liga Juara-Juara jika berpisah dengan kelab yang telah diubahnya sejak 2003.

Perkembangan dramatik itu berlaku beberapa hari selepas Abramovich menyerahkan kawalan Chelsea kepada pemegang amanah yayasan amalnya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Saya sentiasa mengambil keputusan dengan kepentingan terbaik kelab,” kata Abramovich dalam satu kenyataan.

“Dalam situasi semasa, saya telah mengambil keputusan untuk menjual kelab, kerana saya percaya ini adalah untuk kepentingan terbaik kelab, peminat, pekerja, serta penaja dan rakan kongsi kelab.”

Chelsea telah memenangi 19 trofi utama dalam era Abramovich, termasuk dua mahkota Liga Juara-Juara pertama mereka dan lima gelaran Liga Perdana.

Tetapi pentadbiran lelaki berusia 55 tahun itu akan berakhir dengan kejatuhan daripada pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya.

Abramovich, yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, belum dinamakan dalam senarai sekatan British yang semakin meningkat yang menyasarkan bank Rusia, perniagaan dan taikun pro-Kremlin.

Kebimbangan pemilik Chelsea mengenai potensi rampasan aset difahamkan telah mencetuskan tindakannya untuk melepaskan The Blues. – AFP, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen