2 anggota IS warga Britain ditangkap di Syria


Seorang askar rondaan berhampiran sebuah bangunan yang musnah di bandar Raqa pada Jun tahun lepas yang dikuasai kumpulan militan Islamic State. Ia mempunyai rangkaian dan ahli di seluruh dunia. – Gambar fail EPA, 9 Februari, 2018.

DUA ahli kumpulan militan Islamic State (IS) warga Britain yang merupakan sebahagian daripada penculik ditangkap di Syria, kata seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan pada Khamis.

Dua anggota kumpulan yang dikenali sebagai “The Beatles” kerana aksen British mereka itu, Alexanda Amon Kotey dan El Shafee el-Sheikh, ditangkap pada Januari di Syria timur oleh Angkatan Demokrat Syria yang disokong AS.

“Kedua-duanya dipercayai bertindak sebagai pengawal dan jurubahasa yang terlibat dalam penculikan tebusan warga Barat oleh IS, dan dikatakan mempunyai hubungan dengan pengganas British yang sering disebut ‘Jihadi John’,” kata pegawai itu dalam satu kenyataan.

Pegawai AS tidak memberikan sebarang maklumat mengenai keadaan kedua-duanya atau apa yang akan berlaku kepada mereka.

Dua lagi anggota kumpulan “The Beatles” itu, Mohammed Emwazi – yang dikenali sebagai “Jihadi John” – terbunuh pada 2015 dalam serangan dron oleh tentera bersekutu yang diketua AS dalam memerangi kumpulan IS.

“Jihadi John” adalah pemimpin kumpulan itu, yang terkenal menggunakan pisau untuk membunuh tebusan dalam beberapa rakaman video, termasuk wartawan AS James Foley dan Steven Sotloff.

Ahli keempat, Aine Davis, ditahan di Turki. – AFP, 9 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen