Amanah dan DAP harus waspada musuh dalam selimut 


KHEMAH besar yang diumum oleh Anwar Ibrahim bagi menyatukan semua parti pembangkang dalam menghadapi PRN Johor memperlihatkan ruang keretakan dalam PH semakin melebar.

Keengganan PKR yang tidak dapat menunaikan permintaan Muda telah mengakibatkan Anwar  menjadi sasaran pembunuhan karakter, yang barangkali tidak disedari oleh Amanah
 dan DAP.

Usaha penyingkiran Anwar sebagai ketua pembangkang sudah lama dilaksanakan oleh parti pembangkang luar PH. Oleh yang demikian, PRN Johor menjadi medan kepada mereka untuk melumpuhkan kepimpinan beliau dengan menjadikan DAP dan Amanah sebagai alat bagi memudahkan perancangan mereka.

Dalam hal ini, Amanah dan DAP perlu bertindak bijak untuk membezakan siapa kawan dan siapa lawan sebenar mereka.

Sebagai contoh, kedua parti tersebut dilihat lebih memihak kepada Muda dalam hal pembahagian kerusi di Johor berbanding dengan mempertahankan kawan lamanya iaitu PKR yang diasak dengan tohmahan dan fitnah oleh pihak luar.

Hal ini memperlihatkan bahawa Amanah dan DAP mengetepikan PKR sebagai rakan kongsi apabila mengutamakan pihak luar yang kejujuran mereka masih menjadi tanda tanya.

Adakah kini Amanah dan DAP sudah hilang taring dalam arena politik negara sehingga dilihat oleh rakyat seakan terdesak untuk mendapatkan sokongan dengan berpaut kepada parti pembangkang lain dari luar PH yang apabila tiba waktunya, akan mengkhianati mereka?

Tidakkah mereka sedar bahawa parti pembangkang luar PH sebenarnya ingin menyingkirkan mereka daripada menjadi pakatan pembangkang utama di negara ini?

Misalnya, parti Warisan yang di awal penubuhannya hanya ingin mengubah landskap politik di Sabah. Namun, kini ingin menguasai kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung pula dengan menyasarkan kerusi yang dimiliki oleh PH untuk ditandingi oleh mereka.

Ini memperlihatkan bahawa keikhlasan parti luar PH untuk bekerjasama menumbangkan PN dan BN hanyalah retorik semata-mata.

Parti pembangkang luar PH sebenarnya ingin menyingkirkan PH dan seterusnya, mengambil peranan PH sebagai gabungan pembangkang paling besar di Malaysia.

Oleh itu, lebih baik jika Amanah dan DAP berlapang dada dan bersikap realistik dengan menerima kenyataan bahawa sasaran utama mereka pada PRU akan datang adalah mengekalkan PH sebagai gabungan pembangkang utama dan bukannya menyasarkan ingin kembali menjadi kerajaan.

Selain itu, lebih baik juga jika dapat mengekalkan penguasaan PH sebagai gabungan pembangkang utama di negara ini daripada menjadi kerajaan hasil daripada pertolongan parti lain yang bila-bila masa sahaja akan mengkhianati mereka.

Usahlah Amanah dan DAP terus berpaut sama ada dengan Warisan, Muda, atau Pejuang yang pada hakikatnya tidak ikhlas kepada PH.

Akar umbi Amanah dan DAP harus bertindak segera dengan menyedarkan pemimpin atasan parti yang dibuai mimpi menjadi kerajaan sementara yang tumbang atas pengkhianatan rakan kongsi yang dahulunya sangat dipercayai oleh mereka.

Justeru, semua pihak dalam PH harus bersatu dengan tidak perlu berpaut kepada parti luar dan dalam masa yang sama, tidak menyalahkan individu tertentu dalam gabungan tersebut jika gagal dalam mana-mana PRN atau PRU 15 akan datang. – 2 Mac, 2022.


* Muhammad Hafeezzur Rahman Muzamir, pembaca The Malaysian Insight

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen