Banjir Australia makin buruk, 12 maut 


Puluhan ribu penduduk juga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing apabila paras air mula mencecah balkoni dan bumbung.– Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

BANJIR melanda lebih banyak bandar di pantai timur Australia ketika ribut melanda selatan negara itu dan kini menuju ke arah Sydney.

Empangan utama turut dilaporkan mula melimpahkan air. 

Angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada 12 orang selepas seminggu.

Puluhan ribu penduduk juga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing apabila paras air mula mencecah balkoni dan bumbung.

“Ini mengerikan. Ini mengerikan. Satu nyawa terkorban terlalu banyak,” kata timbalan perdana menteri New South Wales Paul Toole selepas mengesahkan kematian ketiga di bandar Lismore yang dilanda banjir.

Selepas membawa malapetaka ke Queensland, ribut berkenaan mula bergerak ke selatan, membawa hujan yang lebat dan mencetuskan amaran banjir di New South Wales termasuk Sydney, bandar terbesar di Australia.

“Hari ini, tumpuan diberikan kepada Sydney. Kami menjangkakan hujan lebat pada sebelah petang hingga ke malam dan esok,” kata Toole pada satu sidang akhbar.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang berisiko untuk berpindah segera jika diminta berbuat demikian.

“Jika anda mendapat ketukan di pintu, dan anda diminta keluar, sila keluar,” Toole memberitahu sidang akhbar.

“Kami akan berdepan hujan yang lebat dalam beberapa hari akan datang. Kita tidak mahu melihat imej yang mana orang ramai berdiri di atas bumbung rumah mereka, tidak berpindah dan kemudian terpaksa diselamatkan.” – 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen