Tentera Rusia dakwa kuasai wilayah Kherson, Ukraine


Antara aset tentera Ukraine yang dimusnahkan oleh pasukan tentera Rusia yang menceroboh negara itu. – Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

TENTERA Rusia mendakwa telah menguasai bandar Kherson di selatan Ukraine ketika pencerobohan Moscow ke atas negara pro-Barat itu memasuki hari ketujuh.

“Bahagian angkatan tentera Rusia telah menguasai Kherson di bawah kawalan penuh,” kata jurucakap kementerian pertahanan Igor Konashenkov dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Beliau mendakwa perkhidmatan awam dan pengangkutan beroperasi seperti biasa.

“Bandar ini tidak mengalami kekurangan makanan dan barangan keperluan,” tambahnya.

Beliau berkata rundingan sedang dijalankan antara tentera Rusia dan pihak berkuasa tempatan mengenai menjaga ketenteraman, melindungi penduduk dan memastikan perkhidmatan awam berfungsi.

Datuk Bandar Kherson Igor Nikolayev menerusi catatan di Facebook berkata: “Kami masih Ukraine. Masih teguh.”

Bercanggah dengan dakwaan tentera Rusia, beliau berkata pihaknya perlu mencari jalan untuk mengumpulkan mayat dan memulihkan bekalan elektrik, gas, air dan pemanas yang rosak.”

“Namun saya memberi amaran kepada kamu dengan segera: untuk menyelesaikan tugas-tugas ini hari ini bermakna melakukan keajaiban,” tambahnya.

Presiden Rusia Vladimir Putin Khamis lalu mengarahkan tentera untuk menyerang Ukraine.

Secara keseluruhannya, tentera Rusia merosakkan lebih 1,500 kemudahan tentera di Ukraine, kata Konashenkov pada hari Rabu, sambil menambah bahawa 58 pesawat, 46 dron dan 472 kereta kebal dan kenderaan berperisai lain telah dimusnahkan. – AFP, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen