AMERIKA Syarikat (AS) memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak pergi ke Hong Kong dengan alasan risiko kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa ketika bandar itu mengenakan dasar pengasingan Covid-19 yang kontroversi.
Jabatan Negara menaik taraf Hong Kong kepada amaran “Jangan Melancong” tertinggi disebabkan sekatan berkaitan Covid-19 termasuk risiko ibu bapa dan kanak-kanak dipisahkan.
“Dalam beberapa kes kanak-kanak di Hong Kong yang didapati positif dipisahkan daripada ibu bapa mereka dan diasingkan sehingga mereka memenuhi syarat keluar hospital tempatan,” tambah Jabatan Negara.
Hab kewangan Asia berada dalam cengkaman wabak koronavirus yang paling teruk apabila mencatatkan puluhan ribu kes baharu setiap hari, kesesakan hospital dan menhancurkan strategi sifar-Covid-19 di bandar itu.
China mengarahkan pegawai tempatan menghapuskan wabak itu walaupun kajian menunjukkan sebanyak satu perempat daripada penduduk bandar itu mungkin dijangkiti dalam gelombang semasa.
Pihak berkuasa merancang menguji semua 7.4 penduduk akhir bulan ini dan sedang berebut untuk membina rangkaian kem pengasingan dan hospital sementara dengan bantuan China bagi menempatkan mereka yang dijangkiti.
“Ia tetap menjadi objektif dasar kami untuk mengasingkan semua orang yang positif supaya tidak menjangkiti orang lain,” tulis ketua bandar Carrie Lam dalam laporan kemajuan minggu ini.
Ia telah meningkatkan kebimbangan mengenai perpisahan keluarga pada bulan akan datang dan amaran oleh AS adalah kali pertama risiko itu disebut secara khusus dalam nasihat perjalanan.
Lebih 220,000 jangkitan direkodkan di Hong Kong dalam bulan lepas berbanding hanya 12,000 untuk kes keseluruhan wabak - manakala kadar kematiannya kini empat kali ganda dari kes di Singapura.
Angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi berikutan sebahagian penduduk bimbang untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa mereka dijangkiti. – AFP, 2 Mac, 2022.
Komen