POLIS rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan antivaksin di luar bangunan Parlimen New Zealand hari ini, sehingga terpaksa menggunakan semburan lada untuk menyuraikan mereka.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan turut ditahan bagi menamatkan demostrasi yang sudah sekian lama berlangsung.
Ratusan polis berkawal di jalan raya di ibu negara sejak sebelum subuh bagi “membersihkan” kem didirikan penunjuk perasaan sehingga menghalang jalan di sekitar Parlimen selama lebih tiga minggu.
Anggota lengkap dengan peralatan pelindung rusuhan menuju ke arah penunjuk perasaan sambil mengarahkan mereka bergerak, sambil meruntuhkan khemah dan menunda beberapa kenderaan keluar dari kawasan itu.
Polis terpaksa menggunakan semburan lada terhadap penunjuk perasaan tegar dan berlaku pertempuran.
Amaran terpaksa dikeluarkan kepada penduduk Wellington dan pekerja supaya menjauhi kawasan itu.
Polis berkata mereka melihat beberapa penunjuk perasaan membawa serampang peladang.
Tunjuk perasaan di Wellington bermula sebagai satu gerakan menentang mandat vaksin Covid-19. Ia terilham daripada protes sama di Ottawa, Kanada.
Ia kemudiam berkembang merangkumi pelbagai aduan dengan kumpulan sayap kanan menyampaikan slogan antaranya berkisar mesej anti kerajaan dan anti media.
Kemuncak tunjuk perasaan itu ialah kira-kira 3,000 peserta demonstrasi berkhemah di luar Parlimen.
Namun, jumlahnya berkurangan sekitar 300 minggu lalu.
Polis berkata keadaan kotor dan kem itu menjadi lokasi penularan Covid-19, susulan banyak kes dilaporkan dalam kalangan penunjuk perasaan yang kebanyakan tidak memakai pelitup muka. – AFP, 2 Mac, 2022.
Komen