Bank Dunia umum lebih AS$1 bilion bantuan untuk Afghanistan


Penduduk Afghanistan menghadapi kekurangan makanan dan kemiskinan yang semakin meningkat sejak Taliban mengambil alih. – Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

BANK Dunia pada Selasa mengumumkan lebih AS$1 bilion bantuan kemanusiaan untuk Afghanistan, berkata wang itu akan disalurkan kepada agensi PBB dan NGO antarabangsa sambil kekal “di luar kawalan” pemerintah Taliban di negara itu.

Peruntukan semula daripada Dana Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF) selepas dana ARTF AS$280 juta yang dikeluarkan pada Disember lalu, dan bertujuan untuk menyokong tindak balas kemanusiaan sepanjang musim sejuk yang kritikal.

Dana itu, yang akan disampaikan dalam bentuk geran, bertujuan “menyokong penyampaian perkhidmatan asas penting, melindungi rakyat Afghanistan yang memerlukan, membantu memelihara modal insan dan perkhidmatan ekonomi dan sosial utama serta mengurangkan keperluan bantuan kemanusiaan pada masa hadapan,” kata bank yang berpangkalan di Washington itu dalam satu kenyataan.

Bank itu menggantung bantuannya kepada Kabul pada Ogos lalu selepas Taliban kembali berkuasa.

ARTF ialah dana berbilang penderma yang menyelaraskan bantuan antarabangsa untuk meningkatkan kehidupan jutaan rakyat Afghanistan. Ia ditadbir oleh Bank Dunia bagi pihak rakan kongsi penderma.

Sehingga Taliban mengambil alih, ARTF merupakan sumber terbesar pembiayaan pembangunan untuk Afghanistan, membiayai sehingga 30% daripada bajet kerajaan.

Memandangkan Bank Dunia tidak dapat memberikan wang secara terus kepada rejim Taliban—yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa—ia mengalihkan dana kepada organisasi seperti agensi kanak-kanak PBB Unicef sebagai tindak balas kepada krisis kemanusiaan.

Penduduk Afghanistan menghadapi kekurangan makanan dan kemiskinan yang semakin meningkat sejak Taliban mengambil alih.

Objektif bantuan baharu itu adalah untuk “melindungi warga Afghanistan yang memerlukan (dan) membantu memelihara modal insan serta perkhidmatan ekonomi dan sosial utama,” kata Bank Dunia. – AFP, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen