Belarus kerah lebih banyak tentera ke sempadan Ukraine


Imej satelit menunjukkan pasukan tentera darat dan konvoi di Khilchikha, Belarus. – Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

PRESIDEN Belarus Alexander Lukashenko berkata beliau mengarahkan lebih ramai tentera ke selatan negara itu semalam, bersempadan dengan Ukraine, lapor agensi berita Belta.

Tetapi tentera Belarus, sekutu rapat Rusia, tidak akan mengambil bahagian dalam serangan ke atas Ukraine, tambahnya.

Pada hari keenam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Lukashenko memberitahu mesyuarat majlis keselamatan beliau akan menghantar lima kumpulan pertempuran taktikal untuk melindungi bahagian di selatan.

Kumpulan pertempuran ini akan terdiri daripada ratusan askar yang dilengkapi dengan kenderaan perisai dan artileri.

Helikopter dan pesawat perang sudah pun melindungi sempadan selatan, katanya pada mesyuarat itu.

Menjelaskan keputusannya untuk tidak menghantar tentera ke Ukraine, beliau berkata: “Itu bukan tugas kami”.

Lukashenko juga berkata beliau menghantar tentera ke barat di sempadan negara itu dengan Poland.

“Kami tidak boleh dalam keadaan apa pun membenarkan pencerobohan tentera Nato di wilayah Belarus, mahupun operasi di wilayah kami,” katanya.

Minggu lalu Lukashenko membenarkan tentera Rusia menggunakan wilayah Belarus untuk menyerang Ukraine dari utara.

Pada Isnin, pihak berkuasa mengumumkan referendum yang diadakan pada hari sebelumnya telah mengundi untuk membenarkan negara itu menjadi tuan rumah senjata nuklear dan tentera Rusia secara tetap, sebahagian daripada pakej pembaharuan yang turut melanjutkan pemerintahan Lukashenko.

Lukashenko berkata beliau meminta Presiden Rusia Vladimir Putin tambahan peluru berpandu antipesawat S-400 Rusia, untuk ditempatkan di sepanjang sempadan baratnya. Ada yang sudah ditempatkan di sepanjang sempadan selatan dengan Ukraine. – AFP, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen