Seorang pelajar India terbunuh serangan di Kharkiv


Orang ramai membantu wanita yang cedera selepas serangan Rusia di Kharkiv, Ukraine, semalam. – Gambar EPA, 2 Mac, 2022.

SEORANG pelajar India terbunuh dalam serangan di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine pada pagi Selasa ketika ribuan warga India menunggu pemindahan keluar dari negara itu.

Jurucakap Kementerian Luar Arindam Bagchi berkata, Setiausaha Luar India akan memanggil duta Rusia dan Ukraine “untuk mengulangi permintaan bagi laluan segera yang selamat untuk warga India yang masih berada di Kharkiv dan bandar-bandar di zon konflik lain”.

“Dengan amat dukacita kami mengesahkan seorang pelajar India terkorban dalam serangan di Kharkiv pagi ini. Kementerian sedang berhubung dengan keluarganya,” ciap Bagchi di Twitter.

Sementara itu, Kedutaan India di Kyiv meminta warga India meninggalkan ibu negara Ukraine dengan segera.

“Semua warga India termasuk pelajar dinasihatkan meninggalkan Kyiv dengan segera hari ini. Sebaik-baiknya dengan kereta api yang ada atau melalui mana-mana cara lain yang ada,” katanya dalam satu makluman.

Warga India yang terkandas di Ukraine sedang cuba untuk sampai ke negara jiran, termasuk Poland, Slovakia dan Romania, untuk mendapatkan penerbangan membawa mereka pulang. – Bernama, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen