PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan kecemasan pada Selasa untuk mendapatkan AS$1.7 bilion bagi menyediakan bantuan kemanusiaan segera kepada mereka yang terperangkap dalam konflik Rusia ke atas Ukraine.
PBB menganggarkan 12 juta orang di dalam Ukraine memerlukan bantuan dan perlindungan, sementara ia mengunjurkan lebih empat juta pelarian Ukraine mungkin memerlukan bantuan di negara jiran dalam beberapa bulan akan datang.
“Ini adalah masa paling gelap bagi rakyat Ukraine,” kata ketua kemanusiaan PBB Martin Griffiths dalam satu kenyataan.
“Kita perlu meningkatkan tindak balas kita sekarang bagi melindungi nyawa dan maruah rakyat Ukraine. Kita perlu bertindak balas dengan belas kasihan dan perpaduan.”
Rayuan kilat PBB memerlukan AS$1.1 bilion bagi membantu enam juta orang di dalam Ukraine untuk tiga bulan awal ini.
Program bantuan termasuk wang tunai untuk orang yang paling terdedah, makanan, air dan sanitasi, sokongan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan, dan bantuan tempat tinggal untuk membina semula rumah yang rosak.
Pelan itu juga bertujuan untuk menyokong pihak berkuasa dalam menyelenggara dan menubuhkan pusat transit dan penerimaan bagi orang yang berpindah.
“Keluarga yang mempunyai anak kecil bergelimpangan di ruang bawah tanah dan stesen kereta api bawah tanah atau berlari menyelamatkan diri dengan bunyi letupan dan siren yang menakutkan. Jumlah mangsa meningkat dengan pantas,” kata Griffiths.
Ukraine berkata lebih 350 orang awam telah terbunuh sejak pencerobohan Rusia bermula enam hari lalu.
Lebih 660,000 pelarian telah melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran, manakala kira-kira sejuta orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal, kata agensi pelarian PBB, UNHCR, Selasa.
“Kami sedang melihat apa yang boleh menjadi krisis pelarian terbesar di Eropah abad ini,” kata ketua UNHCR Filippo Grandi.
“Walaupun kita telah melihat solidariti dan layanan yang luar biasa dari negara jiran dalam menerima pelarian, termasuk daripada komuniti tempatan dan warga persendirian, lebih banyak sokongan diperlukan bagi membantu dan melindungi pendatang baharu.”
Pelan tindak balas pelarian antara agensi sedang mencari AS$550.6 juta awal untuk membantu pelarian di Poland, Moldova, Hungary, Romania, Slovakia dan negara lain di rantau ini.
Rayuan ini bagi membantu menyediakan tempat tinggal, barangan bantuan kecemasan, bantuan tunai dan sokongan psikososial.
Tentera Rusia menyerang bandar di timur Ukraine dan mengumpul kenderaan berperisai dan artileri berhampiran ibu kota Kyiv pada Selasa, ketika kuasa Barat menjanjikan sekatan lanjut untuk menghukum Moscow. – AFP, 1 Mac, 2022.
Komen