BARISAN Nasional (BN) akan membentangkan enakmen antilompat parti sebaik sahaja ia menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi BN negeri Hasni Mohammad.
Ia juga perkara pertama akan BN lakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja membentuk kerajaan di Johor, katanya.
“Dalam reformasi politik kita jelas perkenalkan usaha enakmen antilompat parti, ia adalah kepentingan utama sebaik sahaja kita ambil alih kepimpinan kerajaan negeri.
“Memperkenalkan enakmen antilompat parti adalah ikhtiar BN sekiranya diberi mandat,” kata Hasni.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan manifesto BN Johor yang dikenali sebagai Ikhtiar BN, di Johor Bahru, hari ini.
Antara isi kandungan ikhtiar BN termasuklah mewajibkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Oleh itu, lima inisiatif utama akan dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kebertanggungjawaban jentera kerajaan dapat dibudayakan secara serius.
“Antaranya adalah setiap Adun di Johor diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.
“Selain itu, indeks petunjuk prestasi (KPI) akan diwujudkan untuk Adun, pegawai utama kerajaan negeri dan ketua kampung dan pelaporan secara berkala akan dilaksanakan kepada rakyat sekerap mungkin,” katanya. – 1 Mac, 2022.
MENYUSUL
Komen