London Underground lumpuh akibat mogok


Seorang pengguna perkhidmatan tren berdiri di pintu penghadang London Underground yang kosong di stesen Liverpool Street di London semasa mogok pekerja perkhidmatan rel London Underground. – Gambar AFP, 1 Mac, 2022.

PERKHIDMATAN tren bawah tanah Tube London digantung pada Selasa, kata badan pengangkutan ibu negara, berikutan mogok oleh kakitangan yang dicetus kerana kebimbangan tentang pemberhentian kerja dan perubahan pencen akibat krisis pembiayaan.

“Semua laluan digantung,” kata jurucakap Pengangkutan London (TfL) kepada AFP, ketika organisasi itu menggesa penumpang bekerja dari rumah atau menggunakan pengangkutan awam alternatif.

Anggota kesatuan sekerja pengangkutan RMT mengadakan mogok berasingan pada Selasa dan Khamis dalam pertikaian sengit yang telah mencetuskan kekecohan perjalanan, dengan kesan serta merta juga dijangka pada Rabu dan Jumaat.

Tindakan itu dibuat ketika kerajaan Britain menyerahkan TfL talian hayat kewangan baharu minggu lalu selepas penutupan Covid memusnahkan pendapatannya.

RMT memberi amaran sebarang pengurangan perbelanjaan akibat perjanjian itu akan menyebabkan ratusan kehilangan pekerjaan, pengurangan pencen dan keadaan kerja yang terjejas.

Datuk Bandar London “Sadiq Khan sepatutnya berdepan dengan menteri Tory yang mahu menyerang pekerjaan, pencen dan syarat pekerja pengangkutan utama tanpa perlu”, kata Setiausaha Agung RMT Mick Lynch.

“Kegagalan politik inilah yang menyebabkan pekerja tiada pilihan selain mogok minggu ini.”

Pembayar cukai akan memberikan TfL sebanyak £200 juta (AS$270 juta, 240 juta euro) dalam penyelesaian pembiayaan luar biasa keempat yang membantu TfL sehingga 24 Jun, umum kerajaan pada Jumaat.

Britain kini telah menyediakan TfL dengan hampir £5.0 bilion dalam pembiayaan kecemasan sejak Mac 2020 apabila UK mula melaksanakan sekatan pergerakan.

TfL juga menjalankan perkhidmatan bas dan kereta api atas tanah di seluruh London.

Pendapatannya merosot sebanyak 95 peratus pada kemuncak gelombang coronavirus pertama pada 2020, manakala dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Tube telah dilanda mogok. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen