Peniaga di Rantau Panjang rugi puluhan ribu ringgit 


PEKAN Rantau Panjang di Pasir Mas seakan lumpuh akibat banjir sejak Sabtu lepas manakala beberapa peniaga kerugian hingga puluhan ribu ringgit apabila barang perniagaan mengalami kerosakan.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati pekan berkenaan sunyi kerana sebahagian premis belum memulakan kembali operasi perniagaan memandangkan zon bebas cukai itu masih digenangi air sedalam kira-kira 0.5 meter.

Pemilik kedai perkakas dapur, Ang Kuan Tee, 64, berkata beliau tidak sempat memindahkan barangan perniagaan ke tempat lebih tinggi kerana paras air naik dengan cepat.

“Saya sudah berniaga di sini sejak 40 tahun lepas, biasanya paras air hanya mencecah buku lali termasuk ketika bah kuning pada 2014. 

“Situasi banjir kali ini menyebabkan saya dan suami, Ong Tiong Guan, 67, tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan termasuk dapur gas dan barangan elektrik lain yang dianggar bernilai hampir RM10,000,” katanya yang ditemui di pekan berkenaan hari ini.

Peniaga tilam, Mohd Azwan Muhammad, 39, pula berkata beliau tidak sangka banjir berlaku bulan ini sekali gus hampir separuh barangan perniagaannya gagal diselamatkan kerana ditenggelami air.

“Tiada kata yang dapat diungkap apabila sewaktu saya datang ke kedai hari ini, saya lihat banyak barang telah rosak. Saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM50,000 dan ia merupakan kerugian paling tinggi pernah saya alami sejak berniaga di pekan ini.

“Saya berharap ada pihak berkaitan dapat menghulurkan bantuan kepada peniaga-peniaga sekitar pekan ini,” katanya yang sudah berniaga lebih 20 tahun. – Bernama, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen