Mahkamah Singapura dengar rayuan terakhir Nagaentran


Nagaenthran K. Dharmalingam yang mempunyai kurang upaya intelek ditahan pada 2009 kerana menyeludup dadah ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati pada tahun berikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2022.

MAHKAMAH Tinggi Singapura akan mendengar rayuan terakhir seorang lelaki warga Malaysia yang berdepan hukuman mati hari ini walaupun mempunyai kurang upaya intelek yang telah mencetuskan bantahan antarabangsa.

Nagaenthran K. Dharmalingam ditahan pada 2009 kerana menyeludup dadah ke negara itu dan dijatuhi hukuman mati pada tahun berikutnya.

Selepas gagal dalam beberapa rayuan selama lebih sedekad lelaki berusia 34 tahun itu akhirnya dijadualkan dihukum gantung beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun pelaksanaan hukuman ke atas Nagaenthran mencetuskan kritikan ramai disebabkan ketidakupayaan intelek Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkannya diisytihar sebagai OKU mental.

Selain Kesatuan Eropah pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan jutawan British Richard Branson juga turut mengecam hukuman terhadap Nagaenthran.

Nagaenthran mengemukakan rayuan terakhirnya yang kemudiannya ditangguhkan selepas dia dijangkiti Covid-19 tetapi akan diteruskan di Mahkamah Rayuan hari ini. 

Ramai aktivis bimbang peluangnya untuk menang dalam rayuan akhir hari ini tipis dan Nagaentran mungkin berdepan hukuman gantung sejurus selepas rayuan di mahkamah hari ini.

Hukuman gantung itu juga akan menjadi pelaksanaan pertama bagi beberapa lagi hukuman gantung yang dijadualkan dijalankan dalam masa terdekat.

‘Lepaskan dia’

Keluarga Nagaenthran sedang menantikan keputusan perbicaraan hari ini.

“Kami bimbang tentang apa yang akan berlaku.

“Kami tertekan dan takut memikirkan keadaan semasa abang saya,”  kata kakaknya Sarmila Dharmalingam.

Dia menggesa kerajaan Singapura untuk “melepaskannya daripada hukuman gantung, memberikannya peluang kedua”.

Kumpulan hak asasi manusia juga turut meningkatkan tekanan ke atas Singapura apabila penyelidik Amnesty International Rachel Chhoa-Howard bulan ini mengkritik kerajaan kerana merancang menyambung semula hukuman mati yang “kejam”.

“Sudah tiba masanya bagi Singapura mewujudkan semula moratorium terhadap hukuman mati sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan sepenuhnya,” katanya.

Nagaenthran ketika berusia 21 tahun ditahan selepas seikat heroin seberat 43g bersamaan dengan kira-kira tiga sudu besar ditemui diikat pada pahanya ketika dia cuba memasuki republik itu.

Penyokong berkata dia mempunyai IQ 69 - tahap yang diiktiraf sebagai kecacatan dan dipaksa untuk melakukan jenayah itu.

Tetapi pihak berkuasa mempertahankan keputusan untuk meneruskan hukuman gantung itu dengan mengatakan keputusan undang-undang mendapati dia “tahu apa yang dia lakukan” pada masa kesalahan itu.

Republik itu mengekalkan hukuman mati bagi beberapa kesalahan termasuk pengedaran dadah dan pembunuhan serta menegaskan ia membantu mengekalkan Singapura sebagai salah sebuah tempat paling selamat di Asia. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen