Ukraine gesa Russia dilarang guna semua lapangan terbang, pelabuhan


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mohon larangan global dikuatkuasakan terhadap pesawat dan kapal Russia yang menggunakan lapangan terbang atau pelabuhan asing. – Gambar EPA, 1 Mac, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky memohon larangan global dikuatkuasakan terhadap pesawat dan kapal Russia yang menggunakan lapangan terbang atau pelabuhan asing sebagai hukuman terhadap Moscow kerana melancarkan serangan ke atas negaranya.

“Kita mesti menutup kemasukan untuk negara ini di semua pelabuhan, terusan dan lapangan terbang dunia,” katanya di Facebook, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mempertimbangkan penutupan sepenuhnya ruang udara kepada peluru berpandu Russia, pesawat dan helikopter.

Zelensky juga menuduh Russia mengebom dan menembak wilayah Ukraine semalam untuk memberi tekanan ke atas Kyiv semasa rundingan untuk gencatan senjata.

Bagi kempen tekanannya terhadap pemimpin Ukraine:“Jangan buang masa anda,” kata Zelensky kepada Russia menerusi mesej video.

Sejurus sebelum rundingan semalam terhenti, pemimpin Russia Vladimir Putin hanya bersetuju mengadakan rundingan pusingan kedua tidak lama lagi dan memberikan pra syarat untuk menamatkan perang menerusi panggilan telefon dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Putin berkata penyelesaian boleh dilakukan hanya jika kepentingan keselamatan Russia diambil kira tanpa syarat, termasuk pengiktirafan kedaulatan Russia ke atas Crimea, pengunduran tentera dan pembebasan negara Ukraine serta memastikan status neutralnya, kata Kremlin.

Pertempuran terus berlaku semasa dialog itu, dengan sekurang-kurangnya 11 terbunuh akibat serangan Russia di bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv yang berhampiran sempadan Russia.

Lebih 350 orang awam, termasuk 14 kanak-kanak terbunuh semasa pencerobohan itu, menurut Ukraine, manakala lebih setengah juta orang meninggalkan negara itu. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen