AS usir 12 kakitangan PBB Rusia terlibat 'operasi pengintipan'


Seramai 12 kakitangan PBB Rusia diusir dari AS kerana didakwa terlibat aktiviti pengintipan. – Gambar EPA, 1 Mac, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) pada Isnin berkata ia mengusir 12 anggota misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rusia di negara itu kerana terlibat “operasi pengintipan”, mencetus respons berang dari Moscow, menyifatkannya  sebagai “langkah bermusuhan.”

Seorang jurucakap misi AS ke PBB berkata mereka yang diarah keluar menyalahgunakan keistimewaan bermastautin di AS dengan terlibat aktiviti pengintipan yang menjejaskan keselamatan negara.

“Kami mengambil tindakan ini mengikut Perjanjian Ibu Pejabat PBB. Tindakan ini berlangsung selama beberapa bulan,” kata jurucakap itu, Olivia Dalton.

Richard Mills, timbalan duta AS ke PBB, memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai situasi kemanusiaan di Ukraine yang belasan individu terlibat dalam aktiviti bukan diplomatik.

“Para diplomat yang diminta meninggalkan AS itu terlibat dalam aktiviti yang tidak sesuai dengan tanggungjawab dan kewajipan mereka sebagai diplomat,” katanya tanpa mengulas lanjut.

“Ini adalah tindakan bermusuhan terhadap negara kita,” kata Anatoly Antonov, duta Rusia ke Washington, di Facebook, sambil menambah Moscow kecewa dan menolak dakwaan AS.

Duta Rusia ke PBB Vassily Nebenzia yang tidak termasuk dalam senarai yang diusir, memaklumkan kepada pemberita tentang keputusan itu.

Semasa memberi sidang akhbar menjelang mesyuarat PBB, Nebenzia meminta wartawan seminit untuk menjawab mesej telefon. Beliau kemudian mendedahkan baru mengetahui arahan pengusiran dikeluarkan oleh AS.

Sumber diplomatik Rusia kemudian memberitahu AFP keputusan itu tidak menyasarkan sama ada duta atau dua timbalan kanannya, Dmitry Polyanskiy dan Anna Evstigneeva.

“Ia berita buruk,” kata Nebenzia, sambil menambah kakitangan terbabit akan meninggalkan negara itu sebelum 7 Mac.

Misi Rusia ke PBB mempunyai kira-kira 100 kakitangan, menurut sumber diplomatik Rusia.

Pengumuman pengusiran itu dibuat pada hari terakhir jawatan presiden bergilir Majlis Keselamatan PBB di Rusia, yang bertukar setiap bulan. 

Rusia akan menyerahkan kerusi presiden kepada Emiriah Arab Bersatu pada Selasa. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen