ICC buka siasatan situasi di Ukraine


Pendakwa raya ICC Karim Khan berkata beliau membuka siasatan terhadap situasi di Ukraine susulan pencerobohan Russia. – Gambar EPA, 1 Mac, 2022.

PENDAKWA raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan berkata beliau membuka siasatan terhadap situasi di Ukraine susulan pencerobohan Russia.

“Hari ini (semalam) saya ingin mengumumkan saya memutuskan untuk meneruskan dengan membuka siasatan terhadap situasi di Ukraine, secepat mungkin.

“Saya berpuas hati terdapat asas yang munasabah untuk mempercayai kedua-dua jenayah iaitu, dakwaan perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan di Ukraine sejak 2014,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berikutan konflik semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, ia menguatkan hasratnya untuk menyiasat tuduhan jenayah baharu termasuk dalam bidang kuasa mahkamah yang dilakukan mana-mana pihak dalam konflik di wilayah Ukraine.

Beliau berkata minggu lalu, ICC yang berpangkalan di The Hague menerima banyak persoalan berkaitan jenayah pencerobohan, bagaimanapun, tidak dapat menggunakan bidang kuasa ke atas dakwaan jenayah itu kerana Russia mahupun Ukraine tidak menandatangani dan meratifikasi Statut Rom ICC.

“Saya akan terus mengikuti rapat perkembangan di Ukraine, dan sekali lagi menggesa supaya mengekang dan mematuhi peraturan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai,” katanya.

Karim berkata Ukraine pada 2014 dan pada 2015 mengiktiraf kecekapan ICC untuk menyiasat dakwaan jenayah semasa dan selepas kejatuhan pemimpin pro-Russia, Viktor Yanukovych dan selepas pencerobohan Russia ke atas Crimea. – AFP, 1 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen