Biden, sekutu bincang selaras respons Ukraine, kata Rumah Putih


Menurut Rumah Putih Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan membuat panggilan bersama sekutu dan rakan kongsinya berhubung perkembangan serangan Rusia di Ukraine, bagi menyelaraskan tindak balas bersama. – Gambar EPA, 28 Februari, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan mengadakan panggilan dengan sekutu dan rakan kongsi pada Isnin bagi membincangkan perkembangan serangan Rusia ke atas Ukraine dan “menyelaraskan tindak balas bersatu kita,” kata Rumah Putih.

Pentadbiran AS bagaimanapun tidak menjelaskan siapa yang akan mengambil bahagian dalam panggilan itu, yang akan berlangsung pukul 11.15 pagi waktu tempatan.

Rusia telah menjadi paria antarabangsa apabila tenteranya berperang di jalan-jalan di bandar-bandar Ukraine, dan berdepan sekatan bertubi-tubi termasuk larangan dari ruang udara Barat dan rangkaian kewangan utama.

Pada Ahad, G7 mengancam sekatan baharu apabila diplomat tertinggi AS Antony Blinken berkata kumpulan negara kaya itu “bersetuju sepenuhnya” menentang pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Juga pada Ahad, Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan supaya “pasukan pencegahan” nuklear Rusia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, menyebabkan bantahan antarabangsa serta-merta, dengan AS menyelar arahan itu sebagai “tidak boleh diterima sama sekali.”

Seruan Biden dengan sekutu akan muncul menjelang Perhimpunan Agung PBB yang bakal membahaskan resolusi untuk mengutuk pencerobohan Rusia ke atas jirannya. – AFP, 28 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen