PEMIMPIN negara perindustrian Kumpulan Tujuh (G7) semalam berkata mereka akan terus mengambil langkah jika Rusia tidak menghentikan “tindakan agresifnya” terhadap Ukraine.
Pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, UK dan AS mengadakan sidang video yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock dan turut dihadiri oleh Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba.
Menurut kenyataan selepas pertemuan itu, mereka mengutuk “pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang dibolehkan oleh Belarus.”
“G7 telah mengemukakan sekatan besar-besaran dan diselaraskan, termasuk ke atas Belarus kerana ia memudahcara serangan Rusia,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.
Mereka menyeru Rusia untuk “segera menghentikan serangan yang sedang berlaku.”
“Rusia akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan yang ditimbulkan oleh operasi ketenteraannya ke atas Ukraine dan penduduknya serta warga antarabangsa dan harta benda mereka,” tambahnya.
Serangan Rusia ke atas Ukraine memasuki hari kelima, dengan laporan terkini menunjukkan bahawa tentera Rusia sedang menuju ke ibu negara, Kyiv.
Tindakan itu menerima bantahan daripada masyarakat antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, UK dan AS melaksanakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap Kremlin.
Sekatan ditingkatkan lagi dengan syarikat penerbangan Rusia dilarang daripada melakukan perjalanan di ruang udara Eropah dan beberapa banknya telah dikeluarkan daripada sistem pemindahan wang antarabangsa melalui bank-bank iaitu SWIFT.
Sebelum ini, Presiden Rusia Vladimir Putin dilapor mengarahkan campur tangan tentera pada Khamis lepas, beberapa hari selepas mengiktiraf dua wilayah yang dikuasai pemisah di timur Ukraine.
Beliau mendakwa Moscow tidak berhasrat untuk menduduki negara jiran itu sebaliknya mahu “menjadikan kawasan itu bebas tentera” dan “bebas daripada pengaruh Nazi” Ukraine.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menuduh Rusia cuba mewujudkan kerajaan boneka dan berkata rakyat Ukraine akan mempertahankan negara mereka. – Bernama, 28 Februari, 2022.
Komen