Agong seru industri pelancongan dipulihkan segera


Ravin Palanisamy

Norma baharu pelancongan pasca wabak Covid-19 mesti dirangka untuk wujudkan pelancongan selamat bagi semua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2022.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menggesa industri pelancongan yang terjejas teruk dipulihkan segera bagi mengekalkan kemampanan industri itu.

Beliau berkata norma baharu pelancongan pasca wabak Covid-19 mesti dirangka untuk memberi peluang kepada rakyat berlibur serta mewujudkan pelancongan selamat bagi semua.

“Bagi mencapai tujuan ini, tumpuan bukan hanya perlu diberikan kepada pelancongan domestik sahaja, malahan perlu juga meneroka peluang untuk kembali menerima pelancong asing ke Malaysia sebagai salah satu usaha untuk mempercepatkan lagi pemulihan industri pelancongan negara,” titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Pelancongan merupakan salah satu industri terbesar di Malaysia. Bagaimanapun, ia berdepan situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak Covid-19 melanda negara.

Memandangkan lebih banyak kelonggaran sekatan dan dengan rakyat Malaysia hampir kembali seperti biasa, beliau meminta kerajaan berhati-hati apabila membuat keputusan untuk beralih daripada fasa pandemik kepada endemik.

Yang di-Pertuan Agong juga memuji pendekatan Putrajaya dalam strateginya bergerak ke hadapan, berkata keputusan mengurangkan harga kit ujian kendiri akan mengukuhkan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat direalisasikan dengan selamat,” katanya.

Merujuk kepada kedudukan Malaysia dalam Indeks Pemulihan Covid-19 terkini Nikkei yang berada pada kedudukan ke-13, baginda bertitah angka positif itu adalah hasil kejayaan program imunisasi negara.

Bagi terus melindungi diri daripada ancaman varian baharu, Al-Sultan Abdullah menggesa semua rakyat Malaysia mendapatkan dos penggalak mereka.

“Bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baru, beta menyeru agar rakyat beta untuk mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Data terkini menunjukkan 14,578,408 individu atau 62% daripada populasi dewasa negara menerima dos penggalak vaksin Covid-19, manakala 22,948,424 individu atau 97.5% lengkap vaksinasi dan 23,228,204 individu atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 28 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen