YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan penghargaan terhadap kestabilan politik yang dicapai kerajaan dan pembangkang menerusi kerjasama dua parti yang dijalin dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
Beliau berkata kestabilan itu akan membawa kebaikan kepada rakyat dan juga negara.
“Beta amat bersyukur dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandatangani antara pihak Kerajaan dengan pembangkang.
“Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat Beta dan masa hadapan negara,” titahnya dalam ucapan perasmian mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-14.
Agong bertitah hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu.
“Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia,” titahnya sambil menambah ia adalah jenis kematangan politik yang Seri Paduka Baginda dan rakyat inginkan.
“Melangkah ke hadapan, Beta menyeru kepada sekalian Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan juga memelihara kestabilan politik yang telah tercapai,” titahnya.
Di penghujung titah Agong membacakan pantun menasihatkan ahli politik daripada kedua-dua pihak supaya berhenti berpolitik “siang dan malam” sebaliknya menumpukan perhatian kepada isu penting kepada orang ramai.
Agong mengalu-alukan pewartaan Undi18 dan bertitah ia membuka dimensi baharu kepada golongan muda dalam menentukan masa depan dan kepimpinan negara.
Baginda mengambil maklum prestasi ekonomi negara tahun lepas yang menunjukkan momentum pemulihan dengan pertumbuhan 3.1% berbanding penurunan 5.6% pada 2020.
Agong meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara lebih baik tahun ini.
“Pemulihan pertumbuhan ekonomi menunjukkan keberkesanan 8 siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada tahun 2020 dan 2021 yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion selain peruntukan bajet tahunan yang telah disediakan.
“Bagi tahun 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara diunjurkan terus berkembang kukuh antara 5.5% hingga 6.5%,” katanya. – 28 Februari, 2022.
Komen