PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin menuduh pihak berkuasa Ukraine membazirkan “peluang” untuk mengadakan rundingan selepas pencerobohan Moscow ke atas negara itu.
Menurut Kremlin, Putin telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri Israel Naftali Bennett tentang “perjalanan operasi ketenteraan khas untuk melindungi Donbas”.
Ketika panggilan telefon tersebut, beliau “juga sudah menyatakan bahawa delegasi Rusia berada di bandar Gomel di Belarus dan bersedia untuk mengadakan rundingan dengan wakil Kyiv, yang menunjukkan sikap sambil lewa, dan masih belum mengambil kesempatan daripada peluang ini”.
Menurut Kremlin, Bennet bagi pihaknya mencadangkan agar Israel bertindak sebagai orang tengah dalam perbincangan antara Rusia dan Ukraine “untuk menghentikan permusuhan”.
Sementara itu, Pejabat Bennett mengesahkan bahawa kedua-dua pemimpin itu “membincangkan keadaan antara Rusia dan Ukraine”.
Panggilan itu disusuli laporan bahawa Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky telah meminta Israel untuk memainkan peranan pengantara berikutan pencerobohan Rusia.
Bennett dan Zelensky berhubung pada Jumaat.
Rusia mahu mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Kyiv di Belarus, yang telah membenarkan laluan tentera Rusia untuk menyerang Ukraine.
Zelensky berkata bahawa Ukraine bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Rusia, tetapi menolak untuk mengadakan rundingan di negara jiran, Belarus. – AFP, 27 Februari, 2022.
Komen